Beberapa hari kebelakangan ini, saya secara tiba-tiba dilibatkan dengan persoalan-persoalan rumit yang dibangkitkan teman-teman. Lewat bualan kosong di ym, ada saja yang bertanya itu dan ini. Dan saya pula tidak mahu menghampakan dan cenderung memberi panduan melalui sudut pandang sendiri.
Mereka berkongsi cerita, masalah kelihatannya membuat mereka sengsara. Ada juga ketikanya, saya dianggap seperti seorang kaunselor yang sentiasa cuba untuk menenangkan dan membawa mereka kembali kepada kerasionalan fikiran.
Hal ini sebenarnya tidaklah terlalu asing bagi saya. Pengalaman lalu dalam merencana dan bertindak sedikit sebanyak dapat mencorak. Tinggal lagi, saya harus responsif dan memberi suluhan yang betul dalam kelam kebuntuan mencari jejak yang hilang.
Apapun, berhadapan dengan pelbagai persoalan sebegini membuatkan saya lebih berhati-hati. Rupanya masih ramai manusia yang tidak mampu keluar dari kekangan sikap kendiri yang merasakan seolah-olah mereka saja yang betul. Saya masih dapat melihat egois dalam kritis. Mengaku silap dan berani mencerap kesannya adalah perkara besar dan penting yang seringkali kita lupa.
Tapi saya tetap menghormati mereka. Saya tetap yakin bahawa manusia bebas berpandangan dan meyakini apa yang diimaninya (di luar konteks agama). Melewati proses itu, mereka juga harus tahu bahawa kritikan luar sangat penting bagi proses semakan semula apa saja yang kita percaya. Dan itulah yang sepatutnya tertanam di minda.
Bila tiba masanya untuk kita bersikap fleksibel terhadap teguran, kritikan dan pandangan, bagi saya itulah masa yang ideal untuk kita kembali merajai hati dalam membuat keputusan yang benar-benar terpuji!
p/s : Catatan ini tidak cuba untuk merendah-rendahkan teman-teman saya. Idealisme tidak seharusnya dibekukan pengertiannya ke tahap kita tidak mahu menerima dan berfikir perkara-perkara lain yang tidak pernah terjangkau di minda!
p/s : Secara peribadi, langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ialah dengan menguatkan naluri positif untuk terus tersenyum!

November 22, 2008 pada 4:09 am
Spiritual kena kuat, baru masalah yang berat nampak ringan
p/s: (Masih BELUM putus asa dan masih CUBA untuk berbahasa) Adik, boleh kakak pinjam buku yang adik dapat masa malam preview ESQ itu? Tak baik kedekut ilmu
November 25, 2008 pada 10:51 am
Haha.
Ini kedahagaan ilmu yang tulen! Boleh saja, kirimkan saya alamatnya. Esok juga akan tiba di muka pintu!