Arkib bagi November, 2008

Melodrama Jiwa

November 29, 2008

Secara jelas, saya tidak dapat mengingati bila nama besar muzik nusantara ini saya kenali. Yang pasti, koleksi albumnya yang dikumpul abah banyak membantu membuatkan saya terpaku.

Liriknya puitis dan semakin indah bila digabungkan dengan melodi merdu bunyi-bunyian yang pelbagai. Lupakan saja nikmat lain dunia. Ia mencipta perasaan yang lain daripada biasa.

Mujur saya bukan pencinta yang gila. Andai sebaliknya, M.Nasir pasti mampu menghantar saya ke awangan khayalan dalam pergelutan kasih mencari syurga Pencipta!

Ini buktinya!

Bahasa Melayu 2

November 27, 2008

Teman-teman,

Bertutur sahaja tidak mungkin akan cukup untuk memperkasa bahasa. Banyak benda akan tempang tanpa penghayatan dari aspek sejarah dan keilmuan yang benar-benar jitu.

Kita punya tanggungjawab untuk mereformasikan pemikiran yang menganggap bahasa Melayu bukan medium ilmu. Lalu bahasa ini apa? Adakah ia hanya alat yang mengajar kita untuk santun tanpa  nilai-nilai lain yang mampu diserlahkannya?

Bahasa Melayu itu berharga. Perlembagaan menjelaskannya. Sebab itulah kita tidak boleh bongkak dan melupakan dasar tunjang seperti ini. Kalau tidak, ketamadunan pasti mati dan tak bererti.

Teman-teman,

Ayuh cerahkan kembali minda-minda kelam yang dipasung penghormatan yang terlalu tinggi buat barat. Ya, mereka hebat. Tapi kita juga bukanlah picisan yang mahu maju dan terus melupakan hakikat.

Jangan lupa ya!

Mantera Gila

November 27, 2008

Entah mantera apa yang dibaca oleh para pendokong People’s Alliance for Democracy (PAD) di Thailand. Saya juga tidak tahu kuasa apa yang telah merasuk mereka. Jalan-jalan saya di Siam lama dahulu tidak pernah menemukan tanda-tanda keberanian sebegini besar hebatnya.

Hormat!

Rakyat Thailand tidak lagi gentar berhadapan dengan aparat kuasa yang bagi mereka telah diseleweng dan tidak lagi tulus. Tindakan merempuh dan mengambil alih pemerintahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi membuktikan kuasa rakyat itu keramat.

Telah saya nyatakan, pemimpin tidak boleh tandus naluri untuk merasai keperitan rakyat. Dan kerana hal ini, Somchai Wongsawat hanya menanti masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keempukan kerusi perdana menteri yang didudukinya.

Langsung saya teringat Himpunan Bersih. Walaupun kekuatannya jauh untuk menyamai kebangkitan rakyat Thailand, persamaannya jelas. Keberanian untuk menentang adalah penting untuk meluruskan kembali penyelewengan elit penguasa. Cumanya di Malaysia, kesopanan kita terlalu suci untuk disentuh sekaligus membuatkan kita lebih senang untuk tidak terlibat.

Itu hakikat. Namun saya tetap percaya bahawa akhirnya, keadilan pasti akan menang. Tapi saya tidak mahu ia berlaku dalam keadaan yang menggetirkan seperti Thailand. Namun untuk itu, kita memerlukan sebuah kerajaan yang matang. Adakah kerajaan seperti ini wujud di Malaysia? Atau saya sedang mengimpikan sesuatu yang gila? Perlukah kita juga bermantera untuk mencapainya?

Kuasa Rakyat!

November 27, 2008

Bicara tentang kuasa rakyat adalah perkara serius yang memerlukan ketelitian yang tinggi. Rakyat, suatu entiti kuasa yang tidak terlihat oleh kita. Bila persoalan kuasa ditimbulkan, pandangan selalu akan hanya terarah kepada cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Keadaan ini meninggalkan satu lompong ketidakpedulian yang mesti ditangani segera. Fakta bahawa ketiga-tiga cabang negara yang disebut tadi mempunyai kuasa terhadap pemerintahan negara tentunya benar tetapi kuasa rakyat dalam prosedur pemilihan dan pembentukan rangka pemerintahan itu pastinya lebih penting.

Hal itulah yang membuatkan seorang pemimpin tidak boleh ketandusan naluri untuk merasai dan mendengar suara rakyat. Pemimpin yang tidak pernah tahu bagaimana perasaan rakyat adalah pemimpin yang hanya menunggu masa untuk diterajang dari ketinggian kuasa.

Namun begitu, pembentukan negara berdasarkan teori populis untuk memenangi hati rakyat juga tidak boleh berlaku dengan melulu. Walaupun rakyat punya kuasa penentu yang besar untuk menentukan kelangsungan pemerintahan seseorang pemimpin, pemimpin tersebut juga terbeban dengan keutamaan untuk mempertahankan prinsip dan dasar-dasar penting negaranya.

Keinginan terhadap sokongan tidak boleh membutakan mata seseorang pemimpin terhadap keutamaan hak dan tanggungjawab yang dipikulnya. Oleh itu, pengimbangan terhadap keinginan rakyat dan keperluan negara adalah perlu dan mesti sentiasa dipelihara.

Kuasa rakyat, walau sehebat manapun ia harus berlaku dalam proses keadilan yang tulen dan dengan penuh kesedaran tentang kesan-kesan langsung yang mengekorinya. Ini membuktikan betapa pentingnya membina rakyat yang luhur dan jelas jatidirinya sekaligus disokong oleh tindakan-tindakan bernegara yang mantap oleh seorang pemimpin bagi memastikan keamanan dan keharmonian sesebuah negara sentiasa terbela dalam sikap toleransi matang setiap cabang yang wujud di dalamnya.

Indonesia

November 27, 2008

Indonesia sudah lama memikat saya. Dengan keunikan pelbagai serta rencam kehidupan yang mendewasakan keteraturan nadinya, ia sentiasa menarik. Walaupun di sana masih ada sisi gelap kehidupan yang mencengkam, kesegaran jatidiri melalui penghayatan budaya rakyatnya pada hemat saya terlihat utuh.

Baru-baru ini, seorang teman menyatakan obsesinya terhadap W.S Rendra. Tidak seperti di Malaysia, penyair besar seperti Rendra punya posisi unggul dalam masyarakat. Suara pemuka-pemuka budaya di sana merentas zaman dan membawa mesej jelas untuk mempertahankan nilai-nilai bangsa yang diancam anasir-anasir luar yang tak diperlukan.

Kekuatan mahasiswa Indonesia juga luar biasa tenaganya. Intelektualisme mereka dirangsang di tengah pergolakan masalah yang sukar dibayangkan mampu ditempuh golongan mahasiswa. Dan getaran yang wujud di Indonesia itu jugalah sebenarnya yang merangsang cara fikir baru mahasiswa Malaysia (merujuk peristiwa Reformasi).

Saya sering mendengar betapa agama di Indonesia (baca:Islam) tidaklah benar-benar kukuh dalam pengertian sebenar penghayatan yang sepatutnya. Walaupun majoriti rakyatnya beragama Islam, unsur-unsur yang menggoncang akidah terus timbul. Kesesatan Ahmadiyah (yang dihadapi dengan begitu keras oleh kelompok FPI), Islam liberal, Kristianisasi dan sebagainya, mengajar mereka menyerap sebegitu banyak masalah yang perlu diselesaikan.

Penggabung jalinan kesemua kekuatan dan kelemahan ini jika di hadapi dengan penuh kesedaran pasti akan mampu membawa Indonesia menempuh kenangan Orde Lama untuk menempuhi ranjau baru yang menanti. Dan dalam keadaan itu, kita ditinggalkan untuk belajar tentang banyak perkara. Semoga kita juga mampu mencontohi mereka. Belajarlah melalui sejarah!

Bahasa Melayu

November 25, 2008

Teman-teman,

Adakalanya kita lupa pada wajah sebenar diri. Saat melihat cermin, wajah yang terbias bukan lagi wajah kita. Kita tidak tahu ia siapa. Lalu kita berteriak. Hingar. Konon ada hantu yang bersembunyi untuk meratah diri di sebalik cermin mimpi. Itu ilusi.

Kita tidak pernah mengakui bahawa kita ini cantik. Dari jauh, sinar wajah terang-benderang mengalahkan sinar si kalimantang. Tapi bagi kita, ia tetap gelap. Putih segar diherdik layu dan tak bermaya. Oh tidak. Ini bukan silap kita. Hantu yang menggerunkan itu yang memulakannya.

Saat desir pasir berbunyi, kita laungkan cacian dan maki. Senyap. Kita mahu menyambung tidur di atas tilam empuk berbantal lusuh. Walaupun seketika, kita mahu mengembalikan tenaga. Bangun dari perbaringan, tangan pantas menggapai cawan. Suakan saja ke mulut. Ah. Panas airnya. Mulut melecur tanpa diduga.

Binasalah kita kerana kebebalan. Keyakinan hilang. Jatidiri berterabur. Pertimbangan hancur.

Teman-teman,

Kita bukan petualang yang ingin memusnahkan tradisi yang panjang.

Elegi

November 24, 2008

Tuhan, aku mohon kesedaran dan kekuatan.