Arkib bagi Oktober, 2008

Rehat

Oktober 25, 2008

Internet memecut lambat. Sering saja tersekat-sekat.
Catatan dikirim lewat. Jiwa meronta kerana penat.

Saya kini berada di luar liputan teknologi. Justeru, untuk beberapa hari berikutnya, blog ini akan disisihkan dari pandangan. Tiada catatan baru akan terbit.

Ada baiknya begitu. Manusia tidak boleh berlari dan terus berlari. Walaupun sekejap, ia perlu berhenti dan kembali beretrospeksi. Jejak lampau perlu diteroka semula agar jalan di hadapan dapat dirintis dengan jaya.

Dalam beberapa waktu lagi, kita akan kembali meneruskan diskusi. Dalam senggang waktu itu, mari kita palu gendang sejarah. Gemanya mampu menyedarkan dan tentunya dapat memandu kita kembali mencari arah!

Selamat Jalan Shamsiah Fakeh

Oktober 21, 2008

Shamsiah Fakeh, walau apa pun persepsi masyarakat terhadapnya, tetap seorang insan yang perlu diingati sumbangannya membebaskan negara daripada jerutan penjajah British. Bersama dengan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuanyai waktu itu, panji-panji perjuangan benar-benar dikibarkan.

Selepas mengabdikan diri dalam Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM), ranjau yang terpaksa ditempuhinya lebih berbisa. Hutan menjadi padang permainannya bersama teman-teman seperjuangan. Namun, hal itu tidak pernah mematikan semangatnya meniup api nasionalisme rakyat yang hidup dalam kepompong penjajahan.

Shamsiah Fakeh akan terus diingati dalam melewati hari-hari mendatang. Pemergiannya seharusnya mengajar kita untuk mengisi kekosongan yang timbul agar idealisme dapat terus dibina dan diperkasa bagi memerdekakan diri dan negara keseluruhannya.

Selamat jalan Shamsiah Fakeh. Selamat bertemu Tuhan kerana itulah erti sebenar kemerdekaan.

p/s : Shamsiah Fakeh merupakan Ketua Angkatan Wanita Sedar (AWAS) sebelum beliau menyertai perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) memperjuangkan kemerdekaan daripada British. Kisah hidupnya boleh dibaca melalui Memoir Shamsiah Fakeh terbitan Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rindu

Oktober 20, 2008

Nah! Ditujukan kepada anak-anak yang kononnya sibuk dan banyak urusan. Juga buat anak-anak yang menjadikan ibu sebagai tugu batu yang menanti dan terus menanti kasih sayang tidak terperi.

Sejarah

Oktober 20, 2008

Sambil cuba untuk memahami krisis ekonomi global lewat naskah terbaru The Economist, sesekali mata saya lirikkan pada wajah bernostalgia Porta De Santiago. Sengaja jalan-jalan bertukar angin. Tiada guna berada di kota ini jika nilai sejarahnya tidak langsung mahu dicari dan dihayati.

Krisis ekonomi yang meletus bermula daripada isu sub prima beberapa minggu lalu yang sedang saya telaah itu tidak lagi mampu menarik. Melihat kegagahan kota lama A Famosa dikelilingi pelbagai nilai sejarah yang lain tentunya lebih menggetarkan.

Bangku panjang yang telah saya isi ditinggalkan. Langkah dipacu pantas. Mentari petang berbahang menusuk. Melalui robohan gerbang belakang Porta De Santiago itu, saya terlihat pelukis jalanan yang mencoret wajah lama Melaka di atas kertas putih yang menemaninya. Berhampiran dengannya, seorang lelaki sibuk berjaja cenderamata.

Pelukis jalanan itu saya sapa. Berbasa-basi seketika tentang kerjaya sebelum pertanyaan demi pertanyaan saya tanyakan berhubung salah faham masyarakat terhadap fakta sebenar kota lama itu. Maka dia pun bercerita. Satu demi satu. Sambil itu lukisannya saya belek. Mengkagumkan! Tidak mudah untuk melukis kembali nostalgia. Tetapi, lelaki ini melakukannya dengan baik.

Beberapa kekeliruan yang bersarang di kepala mula terungkai. Ada juga fakta-fakta baru yang sangat bercanggah dengan pengetahuan dikongsinya bersama saya. Katanya, sering terjadi, pihak berwajib yang sepatutnya mengkaji dengan mendalam dan teliti tentang sejarah gagal melaksanakan tugas dengan baik. Fakta-fakta yang mereka dapati hanya dicedok daripada pihak-pihak lain. Bukannya mereka mahu mengkaji sejarah ketamadunan bangsa sendiri. Lebih parah, agenda politik acapkali campurtangan. Maka, sejarah dilupakan agar pembangunan dapat berlaku atas nama kemodenan. Ya! Walaupun hal itu suatu masa nanti akan menguburkan terus sejarah, ia tetap terjadi.

Teringat saya terhadap revolusi. Faktanya juga dipesong dan langsung tidak diketahui. Tiada teks-teks sejarah di sekolah yang mengangkat ceritanya. Lantaran itu, berbanggalah kita dengan kemerdekaan. Kononnya ia terhasil tanpa ada darah yang tumpah kerana persefahaman utuh kerajaaan Tunku dengan British.

Hari ini, kita masih begitu. Nilai yang mampu diperolehi melalui sejarah langsung tidak mahu diteliti. Golongan muda akan terus berbangga dengan Jalur Gemilang yang dikibar dan sorak-sorai gembira ambang merdeka. Tiada langsung yang tahu perihal Negaraku dan Mamula Moon. Kalaupun ada, mereka tidak gemar untuk mempersoalkannya. Cukup. Ayuh bergembira kerana kita sudah merdeka.

Malang. Apa ertinya berdaulat jika semuanya menjadi alat. Kegersangan nilai perlu cepat dirawat untuk meninggikan martabat. Kita mulakan dengan ilmu. Jika sumber dan isinya benar, sejarah sarat dengan isi yang boleh dipelajari. Kita tidak mahu lagi sejarah hanya menjadi tontonan seperti apa yang terjadi kepada gerbang lama Porta De Santiago ini. Bila suatu masa nanti ia lenyap dari bumi, penyesalan tidak lagi berguna. Tangisan mengenang runtuhnya ia adalah perlakuan jijik dan keji.

Di atas Bukit St. Paul menghampiri suatu petang selepas lebih lima dekad kemerdekaan, pandangan saya lemparkan ke tengah selat. Ya. Selat Melaka. Selat hebat yang pernah menyaksikan bahawa tanah yang saya pijak ini suatu masa lalu begitu bermartabat. Dan pertanyaan ini timbul;

Masihkah kita punya harapan?

Mengejutkan!

Oktober 18, 2008

Saya sedikit tersentak pagi ini tatkala membaca catatan-catatan sekian banyak blog yang menghiasi ruang maya. Puncanya, Tuhan mempertemukan saya dengan sebuah blog yang memuatkan catatan-catatan yang hampir serupa dengan yang saya kirimkan lewat blog ini.

Kalaupun ada, hanya struktur beberapa ayat dan gaya bahasanya yang berubah sedikit. Tambah malang lagi, blog tersebut milik seorang pimpinan mahasiswa yang pernah mengejutkan negara pra PRU-12 yang lalu. Saya bimbang dituduh memplagiat penulisan orang lain. Lalu di blog pimpinan mahasiswa tersebut, saya tinggalkan mesej serta komen dan sehingga kini responnya masih dinanti.

Saya ingin membuat penegasan bahawa catatan saya di blog ini tidak pernah diciplak dari sumber-sumber lain. Maka, jika ada persamaan semuanya adalah kebetulan dan tidak disengajakan. Saya juga memaparkan tarikh bagi setiap catatan untuk menambahkan lagi kekuatan keaslian penulisan.

Kepada pimpinan mahasiswa yang berkenaan, saya mohon penjelasan daripada anda.

Penulisan yang diragui ketulenannya, samalah seperti kebenaran yang samar dalam cahaya!

Hanif Amir
http://agendaanakmuda.wordpress.com
18 Oktober 2008

Peperangan Itu Derita

Oktober 17, 2008

Peperangan itu derita. Bijaksana manusia tidak mampu mengaburkan duka.

Teori

Oktober 17, 2008

Bagi seorang pendiri gagasan-gagasan idea besar dunia, kebolehan berteori tentunya merupakan suatu kebolehan yang sangat penting. Teori, sehebat manapun ia, sering dianggap sebagai tidak praktikal untuk menjadi penyelesaian kepada masalah. Namun tidak dinafikan, titik temu antara teori dan kepraktikalannya sering juga ditemukan.

Berteori itu tidak salah selagi ia dipandu hujah yang didasarkan kepada panduan yang Benar. Sering saja berlaku, kita lebih senang mengambil pendekatan luar yang dirasa lebih dekat dengan kemahuan agama sebagai pegangan dalam isu-isu semasa. Mungkin ini perlu tetapi jika keadaan semacam ini sering saja berlaku, bagaimana agama mahu dihidupkan kembali dengan jitu.

Saya fikir, keadaan seperti ini sedikit celaru. Teori yang bagus tanpa dasar agama mampukah menghasilkan keadaan praktikal yang jelas seperti yang dimahukanNya?