Arkib bagi Julai, 2008

Rehat

Julai 29, 2008

Saya agak canggung apabila lama tidak menulis. Bila jari mula menyentuh papan kekunci komputer, keterujaan untuk menulis lenyap. Tentu saja ada isu baru. Tetapi ia seolah-olah tidak mahu meluncur keluar dari ruang fikiran. Maka selepas ini tentunya intellectus dan ratio akan saya perkuatkan.

Beberapa pengalaman di kaunter-kaunter perkhidmatan kerajaan dan swasta yang berlaku sepanjang minggu ini tentunya menarik untuk diceritakan. Rupanya masih ramai manusia yang tunduk kepada rasa hati sendiri dan memangsakan orang lain. Tetapi untuk menceritakan tentang itu, saya lebih gemar jika di depan mata terhidang teh tarik dan pisang goreng. Cerita ini hanya layak menjadi bualan tatkala minum petang. Pecutan ke arah negara maju tidak memungkinkan saya melayan karenah bongkak sebilangan manusia seperti itu.

Cukup sekadar itu. Saya tidak prolifik dalam penulisan. Mungkin ini juga suatu masalah besar kecelaruan fikiran. Menulis harus dengan fikiran. Tanpa penulisan, satu cabang pemikiran akan tempang. Maka pergerakannya tidak lagi selari. Ah! Moga saya mampu menulis lagi.

Kehilangan adab dan kekeliruan ilmu yang diungkap Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas lewat bukunya Risalah Untuk Kaum Muslimin masih belum ditelan sepenuhnya. Ada lagi bersisa di kerongkong. Moga masa masih ada untuk saya mentelaahnya kembali.

Cukup setakat itu. Ruang ini tidak mahu dijadikan diari. Biarlah kenangan berlalu. Masa depan akan terus dipacu. Dinihari akhir Julai, mata terpaku pada bintang yang cerah. Tiada hijab awan. Moga perubahan ini menerima bantuanMu Tuhan!

Empek-Empek Palembang

Julai 22, 2008

Saya tidak pernah menjejak kaki ke Indonesia. Walaupun hati teringin untuk meninjau buku-buku murah di Pasar Senin, mencari budaya yang hilang di Taman Ismail Marzuki dan beberapa lokasi lain selain merasai kenikmatan makanan jalanannya, hasrat itu terpaksa dipendamkan dulu. Indonesia adalah sebuah negara yang indah. Paduan budaya yang pelbagai dan anutan agama yang melingkunginya menghasilkan suatu kelompok masyarakat yang sangat unik.

Namun begitu, catatan ini tidak ditulis untuk menyatakan keunikan itu agar ia terus dikaji. Tidak sekali-kali. Ini hanya catatan yang ditulis untuk memuntahkan kembali empek-empek Palembang yang baru dimakan sebentar tadi. Rupanya saya hanya tertipu dek kecerdikan dan inovasi rumpun bangsa yang menjalar dan tersebar ke seluruh Kepulauan Melayu.

Saya gemar mencuba makanan-makanan baru yang tidak pernah dirasai. Nikmat makanan sukar untuk diungkapkan. Maka, peluang untuk makan akan dimanfaatkan sepenuhnya dan dinikmati seadanya. Sesedap manapun ia, harus ada ingatan yang perlu dilemparkan pada manusia-manusia yang tidak bernasib baik. Mereka mungkin tidak langsung bepeluang untuk mengisi perut seandainya kelaparan menjengah diri.

Saya meletakkan harapan yang tinggi pada empek-empek Palembang yang saya pesan tadi. Ketika mula bertanya pada pelayan apa itu empek, saya terus dibawa ke dapur restoran untuk melihat sendiri bagaimana keadaannya. Kelihatannya menarik. Campuran tepung dan ikan cukup untuk menjalankan fungsi penghadaman tubuh badan. Tidaklah terlalu berat memandangkan waktu yang sudahpun mencecah dinihari.

Apabila menu itu sampai ke meja, saya mula tersenyum sendiri. Campuran tepung dan ikan pada empek-empek tidak ubah seperti keropok lekor yang biasa saya makan. Cuma kali ini saiznya lebih besar dan dipotong dalam ukuran yang berbeza. Entah apalah yang membuatkan saya lupa. Perbezaan ketara yang kelihatan hanyalah pada pencicahnya yang lebih cair. Tidak seperti sos keropok lekor buatan tangan yang lebih pekat yang boleh saya dapati di Pasar Payang di Terengganu atau di Pasar Besar Siti Khadijah di Kelantan.

Saya tertipu. Dan disebabkan saya tertipu, maka saya harus membayar RM 2.50 untuk menu yang boleh saya dapatkan dengan hanya RM 1.00 di pasar-pasar malam. Seperti juga dalam catatan lalu, bangsa kita kreatif. Hanya dengan mengubah nama, maka kita mampu memperoleh keuntungan yang lebih besar daripada biasa. Inovasi empek-empek ini juga mengajar kita untuk tidak jumud dalam mempelbagaikan elemen-elemen yang mampu menyerlahkan rupa bangsa. Walaupun mungkin salah satu pihak yang meniru resipinya daripada pihak lain, kekreatifan itu membuatkan kita teruja utntuk terus bergerak bersama kemodenan bangsa selagi ia tidak lari daripada prinsip-prinsip yang telah disepakati sejak sekian lama.

Selain itu, ia juga menambahkan kematangan. Mungkin kita tidak pernah memikirkannya. Namun sekurang-kurangnya saya kini akan lebih peka dan secara tidak langsung akan dapat mengelakkan saya daripada terus tertipu lagi! Kali ini saya kalah dengan penipuan empek-empek Palembang!

Kembara

Julai 21, 2008

Saya tercabar apabila menonton rancangan-rancangan pengembaraan yang disiarkan di televisyen. Melihat perantaranya menjelajah serata dunia mencari pengalaman baru membuatkan saya cemburu. Bukan apa, saya juga menyimpan hasrat yang sama. Saya mahu menjelajah dunia melihat manusia. Masanya akan tiba.

Saya akan mendaki Everest. Saya juga akan berkelana merentas benua. Kalau hayat masih panjang, saya akan berbasikal ke setiap negara. Seterusnya, saya mahu menjejaki setiap negara yang terbelenggu dengan kemiskinan. Saya mahu menjadi saksi betapa kemanusiaan hanyalah ungkapan manis manusia yang tidak ditunaikan. Jika wang masih berbaki, maka setiap monumen sejarah di serata dunia akan dijelajahi. Tidak lupa, pengembaraan ini akan turut diadakan dengan konvoi kenderaan bersama teman-teman. Mereka yang sinis akan saya bawa bersama. Saya mahu membuktikan ini bukan jenaka.

Ini pernyataan hasrat. Biarlah kalau ada yang mahu menyindir bahawa ini semua kerja gila yang sia-sia. Saya tidak terkesan apa-apa.

Saya akan mencuba. Tuhan menentukannya.

Anak Muda. Kau harus berjiwa besar!

Bedar Memecah Gelombang

Julai 21, 2008

Saya tidak pernah tahu apa itu bedar sehinggalah Faisal Tehrani memperkenalkannya kepada saya menerusi novelnya, Bedar Sukma Bisu. Dari pagi menjengah petang membawa ke malam, gelombang yang diredah bedar itu turut saya rasakan. Berpinar mata membaca setiap perkataan yang disulam penceritaan mengenai kekreatifan dan kesenian kejuruteraan lama itu.

Memang saya harus bangga. Ini cerita tentang bangsa terbilang yang dilupakan orang. Bukan mudah untuk memecahkan stigma negatif sesetengah individu. Bagi saya, cerita tentang onak dan duri yang ditempuhi oleh bedar Melayu suatu ketika dulu wajar dirangsang kembali dalam pemikiran. Langit terbuka dewasa ini memberi banyak manfaat. Namun begitu, masih ramai manusia yang terpesong daripada matlamat.

Bangsa Melayu hidup dengan adab yang bertunjangkan agama. Terhakisnya agama tentunya akan mengubah ketinggian bangsa. Saya lebih suka jika kita jadikan bangsa sebagai kayu ukur kepada kejayaan penciptaan ketertiban dalam kehidupan. Walaupun bangsa itu sebenarnya didasari olah agama, kesempurnaan yang ingin dibawa oleh agama terlalu jauh daripada gapaian. Ia masih jauh. Tapi usaha perlu diteruskan untuk memberi kesedaran.

Saya memilih bangsa sebagai kayu ukur kerana saya kagum dengan kehidupan pada zaman-zaman lampau. Tidak tergambar di fikiran bagaimana seorang anak boleh terus menurut kata ibu bapa tanpa perlu dijerkah. Tentunya juga saya kagum dengan pria yang lebih selesa menghantar rombongan daripada berdua-duaan dengan si wanita di jalanan. Hal ini tidak mungkin berlaku lagi.

Jika perlu dilakukan kajian, saya lebih suka menghabiskan masa di Kuala Lumpur untuk menemuramah orang Melayu yang teringin menjadi oang barat. Ini lebih mengujakan daripada bergaul dengan orang barat yang memang terselah kesesatan kemodenan. Leluhur bangsa yang sangat agung dilacurkan hanya kerana mereka melihat ia sebagai ketinggalan. Barat lebih maju. Orang Melayu apa pun tidak tahu.

Nampaknya kita ini celaru. Sejarah akan terus menjadi jurnal-jurnal tebal yang tidak terusik. Isinya seolah-olah rahsia besar yang tidak boleh dibuka oleh bangsa kita. Melayu oh Melayu. Kita tidak melihat langsung kepada kesopanan yang cuba dibawa. Hijabnya terlalu tebal sehingga kita terlalu lemah untuk menguaknya. Mungkin kerana itu, dakyah barat tersebar dengan meluas dan berkesan mempengaruhi nilai-nilai murni bangsa. Barat hadir dengan perubahan yang merosakkan. Ia hadir atas nama pembaharuan.

Bangsa kita tidak jumud. Benar. Seperti juga agama, ia boleh disesuaikan dengan keadaan semasa. Yang penting, sejauh mana kita sanggup meneroka dan berani memunculkannya kembali. Saya pasti, kemodenan hanyalah kosmetik yang cuba menghalang mata daripada melihat dengan saksama. Oleh itu, kemodenan akan terus menjadi petualang yang mampu menghancurkan pasak-pasak teguh pembinaan bangsa. Bangsa Melayu perlu diangkat kembali jatidiri dan pendiriannya. Selepas itu barulah kemodenan akan menjadi sumber yang menguatkan lagi keutuhan bangsa kita. Akhirnya kemajuan akan bergerak selari dengan ketinggian nilai bangsa. Pasti kita akan berbangga.

Bedar akan terus dibina dengan segala kreativiti dan kesenian unggul bangsa. Hal inilah yang membuatkan pukulan gelombang tidak terlalu dirasakan. Rangkanya kukuh. Sirip haluannya utuh. Destinasinya pula jelas. Itu yang perlu kita ada bagi membina kembali sebuah ketamadunan bangsa yang berjaya.

Keberadaan Mental

Julai 17, 2008

Pagi tadi, pensyarah saya berlenggang menghadiri kelas. Biasanya memang begitu. Tidak pernah saya melihat dia masuk sambil memegang buku. Kalaupun ada, ianya hanyalah kertas kehadiran yang harus ditanda.

Tapi pagi ini, kertas kehadiran itu juga tidak dibawanya. Pasti ada yang hampa. Datang seawal pagi untuk belajar, namun kehadiran itu tidak ditanda. Sudah tentu slip kehadiran akan cacat rupanya. Tapi pagi tadi, pensyarah saya menerangkan keadaan sebenar tindakannya. Katanya dia tidak mahu keberadaan kami itu hanya pada fizikal, tetapi dia juga mahukan keberadaan mental yang sempurna. Maksudnya, hadir ke kelas dengan fizikal yang segar dan minda yang fokus.

Benar. Ia penting. Fizikal harus dipandu kebijakan mental.

Tanpa dua elemen ini, kecelaruan pemikiran akan timbul. Minda menerawang menjelajah dunia. Yang baik dikata buruk. Yang lurus dikata bengkok.

Itulah apa yang berlaku kini. Tindakan pihak polis menahan Anwar baru-baru ini adalah sangat tidak wajar. Perlakuan mereka yang melayan Anwar seolah-olah beliau merupakan pengganas menjustifikasikan betapa pihak polis prejudis lalu bertindak secara tidak wajar (perlukah mereka mengkhianati jaminan yang diberikan untuk Anwar hadir ke IPK sebelum pukul 2 petang?)

Pihak polis sangat kuat. Kemahiran mereka tidak saya pertikaikan. Sebagai rakyat, keberadaan pihak polis sangat saya harapkan bagi menjaga keamanan. Tapi itulah. Keberadaan mental tidak diberikan perhatian. Mereka hanya bertindak. Adakah tindakan itu rasional? Bagi saya jawapannya tidak.

Fizikal di sini. Mental entah ke mana pergi. Masihkah saya boleh terus berharap?

Kata Harus Dikota

Julai 16, 2008

Aha. Saya terlupa sesuatu. Beberapa hari lalu sebelum bertemu Sdr Anwar, Sdr Shabery mempertaruhkan jawatannya jika tidak berjaya mempertahankan dasar kerajaan. Buktinya kini jelas dan nyata. Beliau mati hujah dan entah ke mana sesatnya.

Apa lagi pilihan yang ada? Sdr Shabery Cheek bertanggungjawab untuk meletakkan jawatan! Jika tidak, beliau akan terus dilihat sebagai manusia yang tidak berprinsip dan mengkhianati janjinya.

Kata harus dikota,
Rakyat hakim negara!

Idea Busuk!

Julai 15, 2008

Saya teruja menghadap televisyen menanti debat kenaikan harga minyak antara Sdr Shabery Cheek dengan Sdr Anwar Ibrahim. Manakan tidak, ini kali pertama debat seumpama ini ditayangkan secara langsung melalui media (saya tidak tahu format debat mengenai Palestin antara Sdr Mahathir dengan Almarhum Fadzil Noor). Debat ini juga memenuhi kehendak saya. Penantian sejak sekian lama terisi akhirnya.

Membandingkan Sdr Anwar dengan Sdr Shabery bagi saya adalah tidak adil. Dari apa jua sudut, tidak kiralah aktivisme kemahasiswaan, keterlibatan politik mahupun pengalaman dalam kerajaan, jurangnya terlalu besar untuk dikecilkan. Faktor-faktor ini membuatkan saya reda jika ditakdirkan Sdr Shabery tewas dalam berhujah. Tapi jika yang tersasul itu Sdr Anwar, maka saya akan berasa sangat kecewa. Harapan kemenangan itu terlalu besar untuk disia-siakannya.

Sekali lagi saya beranggapan malam ini malam kebangkitan. Sdr Anwar melaksanakan tanggungjawab penyebaran fakta dan hujah dengan cukup kemas. Sdr Shabery pula kelihatannya lebik sibuk menyerang peribadi dengan menggali sejarah lampau yang terpesong daripada tema perdebatan. Tapi ini bukanlah sesuatu yang baru. Mungkin bagi pendokong kerajaan, resamnya begitu.

Debat tamat dengan kemenangan besar di pihak Sdr Anwar. Jelas sekali keputusannya begitu. Sdr Shabery saya kira harus lebih bersedia. Mungkin psikologinya agak canggung berdepan dengan karisma besar di depan mata. Idea busuk yang dihujahkannya telah dibenamkan dengan jaya.

Usai debat, saya sedikit kecewa. Bagi saya, Sdr Anwar harus mengakhiri perdebatan ini dengan penegasan tentang komitmen ke arah perubahan.

Kesimpulannya harus begini :

“Sebagai kesimpulan dalam perdebatan ini, ingin saya tegaskan bahawa kerajaan yang bertanggungjawab perlu lebih peka terhadap permasalahan rakyat. Kalangan rakyat pula perlu sentiasa menggunakan setiap peluang yang ada untuk menambahbaik sistem pemerintahan yang membebankan. Akhir kata, lawan tetap lawan! Dan jika hari ini kita membentuk kerajaan, esok turun harga minyak!”