Arkib bagi Mei, 2008

Ezam Dan Reformasi Pemikiran

Mei 28, 2008

Ezam bukan calang-calang pejuang.Dekad lalu, ketika api reformasi baru menyala, Ezam memainkan peranan besar dalam menyemarakkan semangat rakyat.Tanpa gentar, beliau membongkar segala kelemahan pemerintah.Pendokong reformasi menjulang Ezam sebagai suatu entiti penting dalam gelora politik negara.

Waktu itu, Ezam lebih mesra dengan jolokan The Angry Young Man.Melihat Anwar Ibrahim dihumban ke penjara, beliau tidak mampu berdiam diri.Sesuai dengan jawatannya sebagai Setiausaha Politik mantan Timbalan Perdana Menteri itu,  Ezam bangkit membela ketuanya.

Sejarah perjuangan Ezam terlalu panjang jika ingin dihurai satu persatu.Pengalamannya terperosok dalam tahanan termasuk ISA atas pelbagai kesalahan (seperti yang digambarkan pemerintah) terlalu sukar untuk dilupakan.Meskipun beliau akhirnya keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKN bergabung dengan PRM), Ezam kekal sebagai seorang pejuang kental yang dihormati.

Tetapi kini, situasi dekad lalu itu mungkin akan terus lenyap.Entah apa puncanya, Ezam mengambil keputusan untuk menyertai semula parti yang pernah ditentangnya dulu.UMNO pula menerimanya dengan terbuka.Pendirian Ezam mula dipersoal.Pidatonya yang meruap-ruap dengan kemarahan terhadap UMNO suatu ketika dulu kelihatannya mula sejuk.Barangkali juga ia telah membeku.

Apa sebenarnya yang dicari oleh Ezam?Tidak mungkin mindanya terlalu mudah dapat diracuni.Aspirasi perjuangannya dulu dalam usaha untuk mereformasikan pemerintahan dan menolak segala kegiatan tidak bermoral pemerintah masih belum tercapai.Tiba-tiba sahaja fikirannya berubah.

Ezam kini bukan lagi seorang pejuang.Kata-katanya masih belum terlaksana.Kembali ke pangkuan UMNO bolehlah dianggap seperti tindakan seorang anak kecil yang tidak tahu apa-apa.Anak kecil ini mulanya akan menangis bila dikasari abang-abangnya.Namun setelah beberapa lama dan disuakan dengan gula-gula, dia akan kembali tersenyum dan bermain semula.

Reformasi menuntut perubahan total (menyeluruh) seseorang manusia.Jika hanya ditampal-tampal pada tempat yang berlopak, maka reformasi akan terbantut dan gagal.Tunjang utamanya tentu saja fikiran yang mendalam dan luhur untuk merencana masa depan yang lebih baik.

Biarlah Ezam pergi.Reformasi memerlukan keterlibatan dan sokongan yang menjangkaui peranan Ezam.Kita harus berfikir dan bertindak dengan cara baru.

Sebelum badai melanda negara dalam minggu-minggu yang mendatang, keperluan untuk mereformasikan pemikiran kelihatan lebih mendesak.Berada pada takuk lama tidak membawa kita ke mana-mana.Atas dasar itu kisah Ezam harus dijadikan pedoman yang merintis kepada semangat baru untuk Malaysia yang lebih maju!

Baca baki entri ini »

Sesat

Mei 25, 2008

Baru-baru ini, saya terheret dalam suatu perbincangan tentang Syiah.Ia bukanlah suatu perbincangan serius walau berlarutan beberapa hari.Dan apa yang membuatkan debat ini lebih menarik ialah kerana teman saya ini punya latar belakang agama yang baik.Apa yang dilayarinya di internet pula kebanyakannya merupakan laman-laman berkait agama dan politik.Saya pula, dalam keadaan yang tidak bersedia, melayani debat ini dengan terbuka.

Mulanya, saya sengaja menggerakkannya untuk membaca karya-karya Faisal Tehrani.Umum mengetahui, karya Faisal berbaur Syiah.Lalu teman saya mula mempersoalkan muslihat Syiah sambil mengungkap beberapa peristiwa gelap mazhab itu.Kata saya, kalau benar pun Faisal itu Syiah, apa salahnya saya menghargai sastera dan penulisan kreatifnya?Namun, teman saya ini pesimis.Dia kelihatan lebih suka untuk meninggalkan apa sahaja yang bercanggah tanpa mahu menyelami dulu dasar sesuatu isu.

Saya mengajaknya membaca.Mungkin dari situ kita akan lebih memahami dan meluaskan sudut pandang yang kurang terbuka.Dia menolak.Karbala, karya terbaharu Faisal baginya terang-terangan memandu ke arah yang “sesat”.Apa yang boleh saya lakukan lagi.Ilmu yang terlalu cetek tidak memungkinkan saya terus berhujah.Saya mati akal.Saya hanya meneruskan ajakan agar dia membaca.Membaca.Dan membaca.

Debat itu akhirnya ditamatkan oleh The Amman Message.Mujur.Jika tidak, mungkin saya terpaksa menelefon Yusof Al-Qardawi  untuk datang ke Malaysia ( Yusof Al-Qardawi adalah antara ulama yag dikaguminya ).Setelah beberapa hari berlalu, saya terbaca dalam Ilham Di Tepi Tasik karya A. Samad Said tentang keperluan seseorang individu untuk meluaskan pembacaan.Dari situ kita mampu belajar dan memahami.Tapi itu sahaja tidak mencukupi.Selain daripada membaca, kita juga perlu mula untuk menghayati.Fikir saya, inilah yang kurang pada saya,teman saya ini dan juga kita.

Ramai yang suka bertanya, maka buku adalah jawapannya.Dan untuk membuatkan pertanyaan dan jawapan itu lebih bermakna, kita perlu menghayati.Kalaulah ini dapat dikuasai, tidaklah saya perlu membuang masa selalu berbincang di kedai kopi hanya kerana Syiah dan Faisal Tehrani.

Kerana Mahathir

Mei 23, 2008

Mempersoalkan jasa mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad bukanlah tindakan yang akan dilakukan oleh orang cerdik.Sepanjang 22 tahun kepimpinannya, Malaysia diangkat menjadi sebuah negara unggul dalam pelbagai bidang.Lantaran itu, mantan Perdana Menteri ini layak mendapat gelar negarawan.Status ini tentunya akan menjadi lebih mantap jika beliau tidak terpalit dengan sejarah hitam yang mengganggu-gugat karismanya.

Sebagai seorang negarawan, beliau harus berani.Berani tidaklah dinilai dengan tahap kebejatan pemerintahannya tetapi ia dinilai daripada sikap kritikalnya terhadap kepimpinan negara kini.Negarawan ini lantang mengkritik pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.Baginya, kepimpinan hari ini lemah dan tidak berjaya membawa aspirasi dan kehendak sekian banyak pengikutnya.

Lagak negarawan ini sebagai seorang pembela kaum Melayu perlu diberi pujian jika benar tindakannya itu luhur dan dilakukan demi maruah bangsanya.Mahathir juga dengan tegas mengakui bahawa beliau kini bukan lagi pendokong perjuangan Melayu yang dibawa partinya dulu.UMNO baginya sudah hilang idealisme dan semangat sebenar perjuangan.Jika diteliti, cakap Mahathir ini ada benarnya.

Beliau juga mendesak Perdana Menteri berundur dari puncak kuasa.Pengaruh Mahathir yang masih bersisa juga menyaksikan ahli-ahli UMNO menyokong pendiriannya dan turut sama keluar dari parti.Kesemua mereka diingaatkan agar terus neutral dan tidak berpihak kepada mana-mana parti pembangkang.Untuk kesekian kalinya, aksi Mahathir yang tidak dijangka ini dilihat sebagai perosak yang mampu menghancurkan UMNO.Apatah lagi ia dilakukan di ambang desas-desus Pakatan Rakyat akan mengambil pemerintahan kerana perpindahan kem ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional.

Inilah cerita Mahathir.Tradisi keluar parti yang dimulakan pengasas UMNO iaitu Datuk Onn Jaafar tetap diteruskannya.Semuanya kerana bangsa Melayu.Sebuah bangsa yang sangat dicintainya.Kita mungkin dapat menghidu apa-apa yang pincang.Tetapi harus diingat, Mahathir merupakan seorang negarawan.Beliau pastinya akan meneruskan penentangan.

Kita tidak perlu menunggu untuk diiktiraf sebagai negarawan sebelum bangkit menentang segala yang pincang.Tapi bila Mahathir sudah bertindak, adakah kita mahu terus tidur lena?

Rupa-rupanya ada pelajaran yang dibawa Mahathir.Malangnya, ia dilakukan dengan berkiblatkan arah yang salah dengan tujuan yang tidak punya kepastian.Apa pendirian kita?Mahukah kita juga bangun dan bersuara sepertinya?

Pedra Branca

Mei 23, 2008

Maka bersuaralah sang pendita.Pedra Branca itu tiadalah lagi milik Malaysia.Usahlah terus bahas-membahas laksana kera mendapat canggung.Maka hingarlah lagi wilayah selatan.Tiadalah lagi daulat bila tergadai tanah nan rencong.

Berpesta kita tiadalah berguna.Yang berdaulat menyembah kuasa.Milik kita berkecai hancur.Dan peliharalah kita akan maruah yang lebur.

Arakian, berbunyi lagi loceng sakti.Air liuh meleleh-leleh.Durjana apa kita.Begini besar malunya di depan jagat terbuka.Yang ditutup larilah sudah.Tiadalah lagi impian indah.Gundah gulana puak besar.Cerita lama tamatlah ia.

Batu Puteh jadilah ia kenang-kenangan orang.Apa lagi mahu ditangis?

Kata pendita-pendita itu, Pedra Brancalah namanya asli.Nama berdaulat lagi tinggi.

Baca baki entri ini »

Palestin,Ne Me Quitte Pas

Mei 17, 2008

Isu Palestin adalah isu kemanusiaan yang tak berpenghujung.Sejak rakyatnya dinafikan hak dan diusir dari tanah pusaka mereka tanggal 15 Mei 1948, Palestin terus meratap.Zionis biadap pula terus-terusan mencetus derita.

Selepas 60 tahun tragedi Nakbah ini berlaku, tidak banyak yang mampu dilakukan oleh umat Islam.Kita hanya mampu mengecam hebat kalau ada serangan yang berlaku.Mungkin hanya itu tahap kita.Lemah dan tidak bermaya.

Tapi, kecaman itu juga sebenarnya merupakan sesuatu yang hebat jika dibandingkan dengan tindakan beberapa pihak yang terus membatu.Tatkala rasa cinta sudah mati, tiada apa yang mampu diharapkan lagi.

Ada baiknya kita belajar daripada Mukhsin.Lagu Ne Me Quitte Pas yang melatarinya membawa banyak makna.Kata Jacques Brel, ia bukan tentang cinta.Tapi ia adalah mengenai ketakutan seorang lelaki untuk mendapatkan cintanya kembali.

Palestin itu milik kita.Adakah kita hanya mahu memerhati tanpa melakukan apa-apa?Orked dan Mukhsin masih kecil.Tapi gagasan cinta yang dibawa mereka harus dihayati dalam konteks kita mutakhir ini.Oleh itu, kita yang perlu berkejar ke arah kedamaian tanah suci Palestin.

Jika ia tidak berlaku, mungkin suatu hari nanti rakyat Palestin akan menyanyi ;

Ne Me Quitte Pas, Ya Akhi!

Baca baki entri ini »

Penghargaan Buat Guru

Mei 15, 2008

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa”

                             SN Usman Awang, 1979

                                                                                

Kunjungan Semula Hari Ibu

Mei 15, 2008

Hari ini baru saya menyedari bahawa kasih saya pada ibu masih belum cukup.Dengan hanya menempelkan sebuah klip video tentang tingginya nilai ibu diikuti sebuah puisi seorang Sasterawan Negara dalam catatan terdahulu, tentu saja tidak mampu menyentuh rasa.Kalau itu merupakan suatu timbangan untuk menimbang sayang seorang anak terhadap ibunya, mungkin saya langsung tidak layak dijadikan manusia.Kerdil dan kecil amat membalas jasa.

Saya tidak pernah lupa yang saya pernah miring didakap ibu ketika tidur.Tangan ibu yang lembut dan empuk menepuk, terus mendatangkan lelap.Memang aturan alam yang menidurkan saya.Namun tanpa ibu, tentu tidur saya sunyi tanpa dikasihani.

Itu hanya secebis kisah.Lelah dan sakit ibu membesarkan saya jauh lebih tinggi nilainya.Ibu juga selalu menitipkan pesan.Saya tidak mampu mengimbau masa lampau.Jika saya memiliki kelebihan itu, ingin sekali saya tayangkan ia kembali.Mungkin pernah ada ingatan dan arahan ibu yang tidak saya patuhi.Saya pohon kemaafan daripada ibu.

Saya yakin rintihan saya didengar Tuhan.Seksa ibu dengan rahim yang berat menanggung kandungan tidak akan mampu saya bayar.Tapi saya masih punya masa.Mujur jasad ini masih bernyawa.

Tuhan tidak pernah lokek.Oleh itu, saya ingin memohon agar menjaga ibu dengan baik.Permudahkanlah setiap urusannya sepertimana mudahnya saya tatkala dijaganya dulu.Anugerahkanlah ibu dengan kebebasan.Biar dia ketemu cinta dan nikmat yang Engkau janjikan.

Tuhan, seorang anak sedang merintih memohon ihsan.