Dalam apa jua bentuk,agama dipandang sebagai suatu unsur suci oleh manusia.Tanpa melihat secara jujur,setiap agama yang dianuti diletakkan di tahap yang tertinggi mengatasi agama-agama lain.Oleh yang demikian,ramai yang mula melupakan pertimbangan yang adil.Apa sahaja kesilapan yang yang berlaku,agama si pelaku kesalahan itu akan dituding dulu bagi menjustifikasi apa yang terjadi.Ramai yang tidak cuba untuk memahami situasi sebenar dan perkara penting yang perlu diperhatikan.
Setelah kita digemparkan dengan kebiadaban sebuah akhbar Denmark menyiarkan karikatur Nabi Muhammad S.A.W dalam keadaan yang hina,dunia sekali lagi dikejutkan oleh Geert Wilders-seorang ahli politik Belanda.Tanpa rasa bersalah,beliau menerbitkan sebuah filem pendek berjudul Fitna yang mengocak darah umat Islam.Melalui filem ini,Islam digambarkan sebagai agama yang ganas dan menyeru kepada keganasan.Dengan mengambil latar peristiwa 11 September 2001,tragedi pengeboman di Madrid dan sebagainya,filem ini benar-benar telah menyimpang daripada ajaran sebenar Islam.Provokasi yang dilakukan tidaklah diketahui apa tujuannya,namun ia tidaklah terlalu sukar difahami kerana barat sebenarnya masih memandang Islam dengan pandangan yang penuh prejudis.Bagi mereka,kebebasan menyatakan pandangan dan berekspresi perlu diberi keutamaan.Persoalan agama dan hakikat kedamaian yang tercipta melalui agama terus dipandang sepi.
Kita harus faham bahawa isu ini bukan semata-semata mengenai kebebasan.Perkara penting yang dilupakan perlu kembali diberi perhatian.Sebagai seorang ahli politik,Geert Wilders punya banyak sebab untuk menerbitkan filem ini.Tetapi sebagai seorang yang beragama Islam,kita harus faham dengan tanggungjawab sebenar dalam menyebar risalah sebenar kebenaran.Jika tidak,akan lahir lebih ramai orang seperti Wilders yang jahil dan bebas mempersendakan agama lain yang langsung tidak mereka fahami.

Jika dilihat dari satu sudut lain,penerbitan filem ini merupakan suatu tindakan yang tepat.Atas nama kebebasan,setiap manusia layak mengeluarkan pandangan yang terhasil daripada perahan pemikiran mereka sendiri.Tetapi sekali lagi harus ditegaskan,kebebasan hanya hadir dengan tanggungjawab.Jika salah satunya diabaikan,maka kebebasan akan menjadi tidak bererti kerana terhasil daripada pemikiran yang berat sebelah.Ia sepatutnya dilihat dalam rangka yang lebih luas dan diselami sehingga dasar.Inilah sebenarnya yang hilang dan tidak disinggung dengan baik oleh barat.
Umat Islam akan terus bangkit melawan asakan ini.Demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan bukan lagi suatu tindakan yang janggal.Beberapa sarjana Islam pula menyeru agar diboikot produk-produk keluaran Belanda.Amarah umat Islam memuncak.Tidak kiralah bagaimana kita mendepani isu ini.Tetapi kita harus menyedari peranan sebenar yang terbeban di bahu.Adakah ini salah mereka atau kita yang mengabaikan tanggungjawab menyebarkan kefahaman itu?