Arkib bagi Mac, 2008

Mereka Menggampangkan Akhlak!

Mac 31, 2008

Walau apa jua alasan yang diberi,manusia tetap manusia.Ia tidak boleh lari dari nilai-nilai moral yang dianggap sebagai indikator pelengkap kehidupan.Individu yang punya ciri-ciri ini seringkali dipandang tinggi dan dihormati.Dalam keadaan dunia yang semakin terhapus dengan penghayatan terhadap etika dan kesopanan,saya ingin sekali melihat manusia-manusia seperti ini muncul.Tentunya saya akan lebih bangga jika kemunculan itu adalah dari kalangan anak-anak muda seperti saya.

Malang sekali.Rupa-rupanya harapan saya merupakan harapan yang terlalu ideal dan tidak realistik.Dalam konteks manusia mutakhir ini,mustahil untuk saya merealisasikan hasrat.Benar.Saya sebenarnya cuba memberi harapan palsu terhadap diri sendiri.Biarlah begitu.Saya akan terus cuba memerhati sehingga ketemu apa yang dicari.

Dalam proses pemerhatian itu,saya bernasib baik.Beberapa orang remaja dengan sebilangan daripada mereka punya rambut yang berwarna dan asap rokok yang memutih berkepul usai dihembus cuba menghampiri saya.Saya perhatikan langkahan mereka dengan penuh minat.Entah apa yang mereka sembangkan.Bunyinya hingar walaupun ramai orang berada berdekatan.Mungkin orang lain pekak fikir mereka.

Bukan itu sahaja yang mereka lakukan.Beberapa orang gadis yang berada di situ juga turut menjadi bahan usikan.Kadangkala mereka ketawa besar setelah usikan itu berjaya mengena mangsa.Setiap mata yang memandang tidak mereka hiraukan.Mereka juga menghampiri gadis-gadis itu dan meneruskan usikan dengan kata-kata yang kasar.

Kebetulan pula,saya menaiki bas yang sama dengan mereka.Mungkin juga kami akan berhenti di destinasi yang sama.Entahlah.Saya sudah mula meluat dengan perlakuan mereka itu.Mungkin sudah menjadi tabiat mereka,mulut tidak pernah mahu berhenti walau seketika.Walaupun berada dalam ruang awam,mereka seolah-olah merasakan tempat itu mereka yang punya.Bunyi hingar itu berterusan walaupun bas itu penuh diisi manusia.Biadap sungguh mereka.

Kumpulan remaja ini juga sempat menyindir seorang gadis yang mohon diberi ruang untuk berjalan.Mujur ibu gadis itu menegur mereka kembali.Di mana budi bahasa?Bukankah mereka ini pelapis masa depan?Alahai.Mungkin itu juga harapan yang terlalu ideal dan tidak realistik.Adakah ini malang bertimpa-timpa atau kita yang cuba mencipta generasi durjana?

Dalam perjalanan itu juga saya sempat melihat beberapa orang remaja yang berat punggungnya untuk mengosongkan kerusi pada warga tua.Tiada langsung rasa simpati.Saya juga dapat melihat beberapa pasangan remaja yang rela menginjak maruah dan harga diri.Mereka biarkan batang tubuh mereka digomol dan pipi pula bebas untuk dicium.Saya tahu sebabnya.Itukan tanda kasih dan cinta.Alahai dunia.

Inilah remaja kita.Kemodenan persekitaran telah menyebabkan mereka juga maju ratusan tapak ke hadapan.Kita maih belum mampu menyelesaikan persoalan-persoalan besar kehidupan.Jadi lebih baik kita diam daripada meneruskan retorik unggul tentang remaja.Mereka bukan pewaris negara.

Menginsafi kehinaan dan kelemahan diri,saya ingin bertanya dengan penuh tanggungjawab.Soalan ini bercampur-baur dengan pelbagai rasa antaranya marah,geram dan kecewa.Wabak bodoh apakah yang melanda mereka dan apa sebenarnya silap kita sehingga mereka sanggup menggampangkan akhlak dan budi yang selama ini disanjung tinggi?

Kebangkitan Rakyat!

Mac 8, 2008

Satu demi satu negeri berubah arah.Pemerintahan yang penuh dengan tipu helah sejak sekian lama akhirnya tumbang jua.

Malam ini malam kebangkitan.Bintang-bintang harus berkelip terang.

Rakyat punya kuasa.Mereka mahu mengubah dunia!

Bila Rakyat Bersuara!

Mac 8, 2008

Suara rakyat dimanifestasikan pada pangkahan kertas undi.

Kita nantikan bersama amarah rakyat menjelma dengan penolakan terhadap penguasa!

Selamat tinggal kezaliman.

Selamat tinggal kebongkakan.

Kini masa depan suatu harapan!

Sebuah Negarabangsa

Mac 8, 2008

 

 

 a380.jpg

 Semalam,sebahagian malam saya diisi dengan penuh risiko dan cabaran.Tanpa apa-apa pengalaman terdahulu,nyawa benar-benar saya pertaruhkan.Teman yang berada di sisi tidak mampu menghalang tekad saya.Dia mungkin hanya mampu melihat saya dengan rasa yang penuh gementar.

Mengapa saya melakukannya?Tanpa sebarang latihan intensif,perlakuan saya itu sangat mengejutkan.Saya mungkin akan mati bersama ratusan nyawa lain yang saya bawa.Maaf.Saya terpaksa melakukannya.Ini bukan masa untuk saya menarik balik cita-cita.

Malam semalam,saya diberi peluang untuk mengendalikan Airbus A380.Ia merupakan pesawat terbesar yang memerlukan pengendalinya itu berkemahiran tinggi untuk mengawalnya.Namun,apa yang berlaku adalah sebaliknya.Kepakaran itu tiada pada saya lalu pesawat yang saya bawa itu terhempas.

Mujur saya hanya mengendalikannya di simulator penerbangan milik teman saya tadi.Bayangkan jika ia sebuah pesawat sebenar.Bukan kepalang dosa saya pada manusia.Merisikokan kehidupan orang lain kerana kepuasan diri sendiri sudah cukup untuk membuatkan penyesalan saya tidak berhenti.

Punca pesawat ini terhempas ialah kemahiran dan kepakaran untuk mengendalikan jentera sebesar ini tiada pada saya.Saya memandunya dengan melulu.Semuanya untuk memuaskan nafsu.Jelas,kesalahan itu milik saya.Saya menyimpang jauh sejak dari mula.Matlamat,cara dan penyelesaiaannya sejak awal lagi sudah lari.

Bayangkan.

Bayangkan.

Saya beranalogi perihal sebuah negarabangsa yang hampir mati.

Pecutan Menghampiri Penamat

Mac 7, 2008

Esok merupakan tarikh penting untuk Malaysia.Apa yang berlaku esok akan menentukan masa depan negara.Setelah lama kita nantikan ilham daripada sang penguasa itu muncul,akhirnya  pilihanraya itu tiba.

Saya tidak mahu meramalkan apa-apa.Ketelusan badan bertanggungjawab masih saya ragui.Oleh itu,saya hanya ingin melihat dan memerhati.

Kita harus yakin dengan kebenaran.Jangan biarkan kebaculan untuk merasai kekalahan membuatkan kita rela melacurkan maruah.Kita tidak mencari kemenangan dengan pelbagai tipu helah.

Nantikan hari esok.Ia mungkin akan menjadi suatu sejarah baru kebangkitan.Mungkin juga ia akan menjadi suatu pementasan seorang sutradara sialan!

Dari Dewan Kuliah

Mac 6, 2008

Mutakhir ini,saya agak sibuk.Mujur beberapa urusan persatuan yang bertimbun jumlahnya baru sahaja selesai.Tetapi itu tidaklah bermakna saya boleh berehat.Saya kembali disibukkan dengan beberapa tugasan pembelajaran yang perlu disiapkan.

Jadual yang padat mempengaruhi matlamat saya.Beberapa buah buku tebal berkaitan sejarah dan sastera yang saya beli pada cuti semester yang lalu masih belum mampu dihabiskan pembacaannya.Saya merangkak-rangkak untuk membaca.Adakalanya ia terhenti seketika diserang oleh kelesuan fizikal dan mental setelah seharian dikerah hebat.

Saya tercari-cari ruang untuk melepaskan diri seketika.Meninggalkan bahan bacaan yang menarik bukanlah suatu tindakan yang bijak.Mujur dalam keterbatasan waktu itu,saya masih mampu untuk membaca.Minda tidak akan dibiarkan beku kerana akibatnya nanti ialah pemikiran menjadi jumud serta statik.

Sebetulnya saya sedang teruja.Ketika berada dalam dewan kuliah kerana menghadiri pementasan drama (salah satu tugasan kumpulan yang perlu diselesaikan pada semester ini) malam tadi,seorang teman membawa ingatan saya pada masa lampau.Dalam pementasan dramanya itu,teman saya ini mendeklamasikan Sonnet 18.Ia merupakan teks sastera bahasa Inggeris karya William Shakespeare yang pernah saya amati lama dulu.

Hebat.Ketika ramai yang mempersenda kerja sastera di Malaysia,teman saya ini mengungkap sebuah karya daripada seorang nama besar yang terkenal.Kalau perkara ini selalu berlaku,saya tidak perlu lagi gusar jika tidak punya masa untuk membaca.Yang penting,golongan sedar seperti ini perlu sentiasa ada kerana mereka pengimbang kepada negara.Sebelum ia lumpuh,eloklah penawarnya itu kita jaga.

Penawar itu ialah membaca.Moga ruang fikir kita terbuka.

Baca baki entri ini »

Berakhir Sebuah Kisah..

Mac 6, 2008

Dalam ruang lingkup kehidupan bermasyarakat,rasa kebersamaan memainkan peranan penting untuk menentukan jatuh bangun masyarakat tersebut.Bila rasa itu telah mati,maka watak dan perilaku masyarakat itu juga akan turut berubah.Walau sesukar manapun cabaran untuk mewujudkannya timbul,ia perlu dihadapi dengan iltizam yang jitu.

Hal ini boleh dibuktikan jika kita cakna dengan persekitaran.Bukanlah menjadi suatu kemestian untuk sentiasa bersetuju,tetapi keterbukaan adalah penting bagi mewujudkan rasa kebersamaan yang penuh tanggungjawab.Kita perlu terbuka untuk mendengar.Naluri yang mati dan tidak aktif hanya akan menjadikan kita masyarakat yang mundur dari segenap segi.

Kebersamaan perlu hadir dalam kepelbagaian.Persetankan faham politik kepartian.Penilaian setiap anggota masyarakat perlu jujur dalam mencari kesimpulan.Kadangkala,yang salah itu bukan mereka.Tetapi silapnya hadir dari kita.Kita yang membiarkan tradisi itu meneruskan kesinambungan.Jelas ia suatu bencana.

Mari kita bersama untuk mengakhiri sebuah kisah.Ini bukan sembang penglipurlara.Minda perlu dibuka agar kita dapat kembali merajai ruang fikir yang kian lingkup kerana kita gagal mewujudkan kebersamaan.Kita hanya membiarkan mereka berkuasa.

Marhaen!Ayuh fikir kembali.Kita perlu bersama memikul beban.Wujudkan kebersamaan agar mereka tumpas dalam keegoan mereka sendiri.

Ini masa untuk berubah!