Lama dulu,ketika saya masih di bangku sekolah menekuni pengajian ilmiah,saya punya gaya yang aktif.Ramai teman yang mempersoalkan sikap saya.Jika ada perkara yang tidak saya fahami atau kurang jelas saya amati,maka saya akan bertanya.Bicara saya dengan teman-teman pula seringkali hangat.Peratusan untuk saya menerima hujah mereka tanpa bangkangan adalah sangat rendah.Masing-masing cuba mempertahankan pendirian.
Mereka juga merungut dan “panas” kerana saya asyik membangkang.Saya tidak puas jika hanya mendengar tanpa bertanya atau mempersoalkan sesuatu yang bercanggah dengan fikiran.Mereka punya hak untuk menegur saya.Kadangkala memang saya yang bersalah kerana mencuri masa mereka untuk belajar.Mujur mereka teman-teman yang rapat.Kami masih boleh berjenaka dalam situasi “tegang” menghampiri perang.
Bersikap kritikal(mempersoalkan atau mengkritik) bukanlah bermakna kita sentiasa berasa betul dalam setiap tindakan.Ia juga tidak bermaksud yang kita sahaja yang tahu tentang semua perkara.Jika sikap ini disalah tafsir,maka ramai yang beranggapan kita sentiasa mahu menang.Apa yang dikatakan orang lain itu salah dan tidak boleh diterima pakai.Tetapi inilah yang selalu berlaku.Bersikap kritikal memerlukan kita lari dari kebiasaan.
Sikap ini memainkan peranan penting sebagai pengimbang kepada fikiran.Kita tidak boleh hanya menerima tanpa bertanya dan mengangguk tanpa cuba untuk menggeleng.Selain daripada mematangkan seseorang,ia juga berperanan sebagai medium pembuktian untuk sesuatu perkara.Misalnya jika ada seseorang mengatakan yang makan mampu mengenyangkan,mungkin kita boleh bertanya bukti seseorang manusia itu benar-benar mampu kenyang setelah makan.
Malangnya dewasa ini,bersikap kritikal dianggap sebagai musuh.Justeru,ramai orang yang merelakan hidung mereka ditarik dan menjadi dungu tanpa ada rasa ingin menentang.Puncanya?Kita hanya melihat keselesaan sendiri sebagai puncak keharmonian hidup.Tidak langsung punya rasa tanggungjawab dan “kepunyaan” terhadap apa yang dihadapi orang lain.
Anak muda khususnya memainkan peranan besar bagi mendepani permasalahan ini.Generasi baru perlu berani.Jangan takut untuk bertindak betul.Selagi kita yakin dengan pegangan dan punya keyakinan yang jitu,cuba-cubalah melihat sesuatu perkara melalui sisi yang berbeza.Pertahankan maruah sebelum ia punah.
Hari ini,diam dan berfikir sejenak adalah suatu kemestian.Jangan terus bersorak.Tahu apa sebabnya?Beberapa hari lalu dalam suatu himpunan mega anak muda,seorang orang besar berteriak “I love you all!”.Lalu ia disambut dengan teriakan bertenaga dari anak muda yang hadir.Hancur!Butakah mereka untuk melihat realiti semasa dan apa yang bakal terjadi terhadap masa hadapan mereka sendiri?
Jangan gentar untuk bersikap kritikal.Kita harus mula mempersoal dengan penuh rasa tanggungjawab.Bukan mudah untuk berubah.Tapi kita anak muda yang masih bertenaga.Ia tidak harus dibiarkan sia-sia.