Belumpun surut isu bahasa Inggeris dalam pengajaran Sains dan Matematik,dunia pendidikan sekali lagi bergolak.Isu baharu tentang pemilihan bahan yang sesuai untuk Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu(KOMSAS) menampakkan kepincangan ketara dalam sistem pendidikan negara.
Keputusan pihak berwajib untuk tidak menggunakan karya-karya Sasterawan Negara mahupun karya-karya pemenang anugerah sastera menimbulkan ketegangan dalam khalayak.Rupanya masih ada yang mendokong kualiti kesusasteraan yang sekian lama dipertahankan.Pihak berwajib pula lebih senang memilih “karya picisan” daripada penulis-penulis popular dengan alasan ia lebih mudah dicerna dan mendapat sambutan dalam kalangan remaja.Jelas,alasan ini sangat tidak munasabah.
Sastera perlu dinilai dalam kerangka yang lebih luas.Melalui sastera,kita bukan sahaja dapat menyerlahkan keunikan sesuatu bangsa,malah ia juga boleh dimanfaatkan untuk membina pegangan dan jati diri dengan lebih sempurna.Dengan bantuan sastera,akar budaya dan peradaban sesuatu bangsa itu dapat diselam jauh.
Karya sastera seringkali dinilai sebagai “berat” dan sukar dimengertikan oleh sesetengah orang.Bagi saya,itu merupakan suatu cara fikir yang sempit.Atas dasar itu,mereka merelakan ketinggian nilai sastera itu ditimbus karya kreatif lain yang menjadi kegilaan remaja.Sudah tentulah kita menyedari yang karya-karya seperti ini lebih mudah mengundang airmata daripada membuatkan seseorang itu terbuka mindanya.
Tiada salahnya kita menghargai sesebuah karya yang terbukti berharga.Ia layak diberi penghormatan.Melayani dan hanya mengikut kerenah remaja tanpa berfikir dengan jelas kesan dan akibatnya merupakan suatu bencana.Membawa mereka kembali menghayati sastera berkualiti adalah penting dalam proses pembinaan akhlak dan sahsiah.Kedua-duanya perlu dipelihara agar ia tidak mudah goyah.
Oleh itu,isu ini perlu ditangani dengan penuh hikmah.Karya-karya hebat dan bermanfaat perlu diberi tempat dalam masyarakat.Bila Sasterawan Negara telah bersuara,rintihannya itu bukan lamunan jiwa.Tetapi ia merupakan teguran untuk sebuah bangsa.Jangan biarkan nadanya terus berbunyi hiba.

