Jangkaan saya meleset.Jauh benar ia tersasar.Mungkin ini merupakan kali terakhir saya harus bersikap pesimis.Saya langsung tidak menjangka yang kehadiran pada malam itu melaut jumlahnya(jika dibandingkan dengan jangkaan awal saya).Namun apa yang lebih menarik ialah teman-teman yang bukan berbangsa Melayu dan beragama Islam juga hadir sama.Latar bangsa dan kepercayaan yang berbeza tidak langsung dijadikan penghalang untuk bersama-sama mempastikan program yang telah dirancang dapat dicapai dengan jaya.
Dalam kepelbagaian bangsa yang hadir pada malam itu,acara diteruskan dalam keadaan santai.Pengerusi majlis kelihatan ceria dan asyik berseloroh.Saya yakin semua gembira.Tiada langsung ketegangan atau wajah-wajah “ketat” menahan marah.Majlis berjalan lancar sehinggalah tiba giliran saya untuk memberikan ucapan.Sesuatu telah berlaku.Melihatkan ramai teman berbangsa India yang hadir,sengaja saya bangkitkan isu Hindraf.Seperti biasa,isu-isu hangat pasti akan menjadi perhatian.
Dalam ucapan saya itu,awal-awal lagi telah saya khabarkan bahawa program yang akan diadakan merupakan suatu agen perpaduan.Menyempitkan pendekatan persefahaman dengan cara pemisahan daripada aspek kerjasama langsung tidak pernah saya fikirkan.Namun saya beranggapan jika yang dibicara itu hanya tentang hak dan keistimewaan sesuatu bangsa,rugi benar rasanya.Saya ingin terlibat untuk membetulkan salah anggapan segelintir masyarakat.
Kepatuhan manusia terhadap agama seharusnya mampu mewujudkan rasa tanggungjawab.Prinsip-prinsip moral dalam beragama pastinya tidak langsung menganjurkan persengketaan dan perbalahan.Ucapan saya ketika itu kelihatan Islamik.Saya tidak meletakkan perbezaan bangsa sebagai keutamaan sebaliknya menekankan Islam sebagai pengukuh kepada perpaduan.
Namun,mungkin mesej yang cuba saya sampaikan itu masih kurang jelas.Mungkin juga ada yang melihatnya sebagai suatu cubaan untuk mewujudkan sengketa.Tidak berapa lama sesudah saya menyampaikan ucapan,saya menerima sekeping nota ringkas yang menyuruh saya agar tidak lagi membangkitkan isu Hindraf.Ada juga mesej yang saya terima mengingatkan perkara yang sama.Saya juga terpaksa berdepan dengan teman yang menyatakan ketidaksetujuannya terhadap perlakuan saya.Teguran dan pendapat mereka itu harus saya hormati.
Secara peribadi,saya menganggap isu berbau perkauman yang cuba dibawa olah Hindraf Itu harus diteliti.Mungkin ada benarnya kata mereka.Setiap anggota masyarakat pula harus memainkan peranan tersendiri.Membawa khalayak untuk berfikir dan merenung sejenak tentang isu itu adalah keperluan yang harus dipenuhi.Janganlah takut untuk membincangkan isu perkauman secara rasional.Jika setiap bangsa saling memahami,tentunya kemesraan yang terjalin itu akan menjadi lebih utuh dan kukuh dengan cara kita sendiri.