Arkib bagi November, 2007

Castaway

November 26, 2007

“..a diamond is just a piece of coal that did well under pressure..”

Saya jarang menonton wayang walaupun sering dipelawa teman-teman untuk bersama mereka di panggung.Bukanlah kerana sesebuah filem itu tidak bermutu(saya tidak tahu bagaimana untuk menilai mutu filem),tetapi saya langsung tidak bernafsu untuk turut serta.Saya lebih gemar membiarkan mata melilau mencari naskah-naskah lama Pramoedya Ananta Toer atau melepas rindu pada karya-karya agung A. Samad Said.Saya puas walaupun sedar yang saya tidak punya wang untuk memilikinya.

Menonton filem adakalanya menarik.Antara filem yang merangsang minat saya ialah Castaway lakonan Tom Hanks.Filem ini mengisahkan seorang pekerja kurier yang terdampar di sebuah pulau asing bilamana pesawat yang dinaikinya terhempas di lautan.Bertemankan sebji bola yang dinamakannya Willy,dia cuba meneruskan kelangsungan hidup dengan berusaha keras mencari makanan dan tempat berteduh.

Dalam keadaan berseorangan untuk meneruskan survival(dia berada di pulau itu selama 2 tahun kerana tiada pasukan bantuan menemuinya),dia mula merencanakan perancangan untuk diselamatkan.Pastinya dia tertekan tanpa teman.Untuk terus hidup,dia menombak ikan untuk dijadikan makanan dan ranting-ranting kayu serta pelepah kelapa dikumpulnya dibuat teduhan.Lama-kelamaan dia mula menyesuaikan diri dengan persekitaran itu.Kesusahannya berlarutan sehinggalah rakitnya terbina daripada bahan-bahan terbuang yang hanyut di pantai membolehkannya menongkah arus meminta bantuan.

Bila saya menonton filem ini bersama keluarga,mereka memberitahu bahawa filem ini bosan.Dialognya boleh dikira dengan jari.Pelakonnya pula hanya seorang.Itupun dalam keadaan tidak terurus(bayangkan bagaimana keadaan orang yang tidak mandi air tawar dan bersabun selama 2 tahun!).Tapi bagi saya filem ini sangat menarik.Dalam keadaan tertekan,rupa-rupanya manusia mampu berbuat apa saja.Mereka akan cuba seberapa daya untuk mempastikan nafas hari esok terjamin untuknya.

Tepat!Sikap itu yang harus ada pada manusia.Pedulikan seberapa berat tekanan yang melanda,ia harus ditempuhi dengan tabah dan bertenaga.Selama ini mungkin kita tidak sedar dengan kekuatan sendiri.Namun,dalam keadaan tertekan(harus dibaca sebagai penindasan),kita sebenarnya mampu menyerlahkan sesuatu.Sesuatu yang selama ini terpendam dalam jaga.Kita harus bangkit daripada kegentaran dan biarkan kilauan semangat itu terpancar tanpa harus kita gusar!

Sebelum Tirai Ditutup

November 20, 2007

Terima kasih semua.Debat kita terbuka.Saya menanti kalau-kalau ada lagi keadaan seperti itu.Bukannya cuba untuk mencari kemenangan,tapi bersoal jawab menagih ketajaman pada fikiran!

p/s Lewat malam semalam saya dan beberapa orang teman berdebat tentang suatu isu sensitif.Ia harus saya rahsiakan.Cuma cara perdebatan itu memperlihatkan bahawa kami sebenarnya insan.Berfikir mencari tuhan.

Ditindas Dengan Helah

November 20, 2007

Umum mengetahui bahawa pembentukan sesebuah negara harus bermula daripada rakyatnya sendiri.Peranan yang dimainkan oleh setiap anggota masyarakat berupaya membentuk kerangka sesebuah negara.Jika mereka berusaha,maka majulah negara tersebut dan begitulah sebaliknya.

Namun hari ini,kita harus berasa bimbang dengan masa depan negara.Anak-anak muda yang menjadi komponen utama dalam masyarakat kelihatannya terlalu obses terhadap persekitaran hina.Mereka tidak lagi mampu bertindak sebagai suara masyarakat lantaran hidup mereka dipenuhi aktiviti-aktiviti yang lebih berunsur kenikmatan sementara.

Kita tidak perlu mengira jumlah anak-anak muda yang sudah terkorban di jalanan.Lihat saja sekeliling dan pastinya pandangan akan tertumpu pada kemodenan yang telah menghakis jati diri mereka.Mereka juga lebih cenderung membincangkan perihal hiburan antarabangsa daripada merasai degup nadi masyarakat sekitarnya.

Pemikiran mereka nampaknya sudah lari jauh.Lambat laun mereka akan hilang pedoman dan mengakibatkan timbulnya pebagai gejala negatif yang merosakkan masa depan.Adakah ini memang takdir atau sebenarnya telah direncanakan sesiapa?Kadangkala mereka memang tidak bersalah.Anak muda hari ini perlu bangkit kerana tanpa sedar mereka sebenarnya ditindas dengan pelbagai helah.Perlukah kita menyalahkan pemerintah?

Gementar Sang Moderator

November 18, 2007

Suatu masa dahulu ketika berada di alam persekolahan,saya bersama teman-teman pemimpin pelajar sering diamanahkan untuk menguruskan acara-acara rasmi sekolah.Antara yang paling saya gemari tentunya perhimpunan rasmi yang diadakan pada pagi setiap Isnin.Jadualnya sentiasa berubah.Jika tidak menjadi pengacara,tugas saya ialah mengetuai bacaan doa,ikrar serta rukunegara.

Saya tidak pasti bagaimana pada suatu hari walaupun telah melakukannya berulang-ulang kali,saya mengetuai bacaan doa dalam nada yang bergetar seolah-olah saya sedang menggigil kesejukan.Sudahlah pada masa itu dewan digunakan dan perhimpunan itu terpaksa dijalankan di dataran sekolah.Maka,semua mata tertumpu pada saya sambil mereka tersenyum sinis.Saya tidak takut tapi entah mengapa bacaan saya pada hari itu tidak lancar dan tenang.

Namun,saya habiskan juga bacaan tadi walaupun saya tahu selepas itu pasti saya akan diketawakan orang.Sekurang-kurangnya apa yang diamanahkan kepada saya telah dapat saya penuhi.Beberapa tahun selepas peristiwa itu atau lebih tepat lagi pada hari Khamis,15 November 2007,saya diamanahkan pula untuk menjadi moderator sebuah forum motivasi di universiti.Kali ini lokasinya benar-benar sejuk.Ini membuatkan saya gusar.

Apa yang pelik,kesejukan ruang syarahan tempat berlangsungnya forum yang diacarakan oleh saya pada kali ini langsung tidak membuatkan nada suara saya bergetar seperti beberapa tahun yang lalu.Bicara saya kali ini lancar dan tenang.Alhamdulillah.Namun saya masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi ketika disekolah dulu.Adakah kerana ketakutan saya berdepan guru disiplin atau lidah saya yang kelu tatkala terlihat…..Sinar pada wajah itu…..

Baca baki entri ini »

Gelora 26 Disember

November 18, 2007

Usai solat Jumaat,saya teruja bila dikhabarkan bahawa ada anak-anak mangsa tsunami Aceh di masjid.Tidaklah saya besorak riang tanda girang,tetapi saya bersyukur kerana berkesempatan untuk bertemu mereka.Tangisan anak-anak Aceh tiga tahun lalu benar-benar menyentak rasa.Sejak itu,selama beberapa minggu lamanya,Aceh menjadi tajuk utama media dan saya mengikuti perkembangan Aceh pasca bencana dengan penuh minat.

Gegaran gempa 9 pada skala Richter pada pagi 26 Disember itu bukan kepalang impaknya.Dalam teriak meminta tolong,warga Aceh karam ditelan gelora yang kian ganas.Lhokseumawe dan Meulaboh mula terkenal.Mungkin lebih gah daripada Pink Lady di Thailand.Ratusan ribu warga Aceh menjadi korban.Itu belum lagi ditambah dengan bilangan orang yang hilang tanpa dapat dikesan.Bantuan datang mencurah-curah.Namun,mungkin ada juga pihak yang mati naluri budi dibunuh korupsi.Lantaran itu,warga Aceh terus terabai tanpa pembelaan.

Saya masih terbayang wajah ceria anak-anak Aceh di sekolah.Di celah-celah runtuhan bangunan dan hanya dipayungi kanvas lusuh,mereka menyanyi riang.Di situ juga mereka mula mengenal huruf.Walaupun dihambat ngeri tsunami, anak-anak ini tetap yakin dengan masa depan.Malah,ada di antara mereka bercita-cita besar untuk membangunkan semula bumi Aceh yang ranap diasak bencana.Semoga cita-cita luhur anak-anak ini dipermudahkan dan dapat dicapai dengan jaya.

Aceh masih tidak mampu saya padamkan dari minda.Keinginan untuk ke sana masih segar dalam fikiran.Saya tidak mungkin dapat merasai kesedihan anak-anak Aceh.Saya masih punya keluarga sementara mereka pula hidup sebatang kara.Jauh benar bezanya.Tapi saya tetap gembira kerana senyuman tatkala saya menyapa mereka dibalas dengan huluran salam yang sangat bermakna.Saya akan terus mendoakan Aceh agar dapat ia bangkit daripada memori hitam bencana yang menimpa.

Jelek!

November 6, 2007

Jelek!Mungkin ini satu-satunya perkataan terbaik untuk menggambarkan sikapnya.Dia tidak perlu melayan saya bak raja mahupun pembesar negara.Tapi itu tidaklah bermakna saya merelakan kebiadabannya.Dia bernasib baik kerana saya yang berada di sana.Bukanlah ingin menunjuk baik,tetapi andainya dia bersikap begitu di hadapan seorang teman saya,pastinya dia akan dihambur dengan kata-kata nista!

Hal ini berlaku kepada saya di sebuah negara yang bahagia-Malaysia-.Mungkin ini sebenarnya silap saya.Ketika orang lain perlu beratur panjang untuk berurusan di kaunter,saya terus meluru ke hadapan tanpa menghiraukan mereka.Saya tidak punya apa-apa urusan tetapi saya hanya ingin bertanya.Kaunter yang saya tuju itu pula bukanlah tempat orang berurusan seperti biasa.Malah ia terbiar tidak dijaga.

Melihatkan seorang pekerja wanita yang bertugas di situ berada di kaunter tadi,saya terus pergi kepadanya untuk bertanya jadual perkhidmatan yang disediakan syarikatnya.Bukannya saya mengganggu sesiapa.Sebaik sahaja saya melontar soalan,wanita ini dengan gaya angkuh terus memalingkan mukanya dan mengarahkan saya beratur.Soalan saya dibiarnya tidak berjawab.Saya ajukan kembali soalan yang sama dan kali ini dalam nada terpaksa,dia akhirnya berbicara.Mimik mukanya langsung tidak menggambarkan ceria.Selepas berterima kasih,saya berlalu pergi.

Beginikah caranya orang kita?Saya bukannya mengemis dan meminta ihsannya.Namun dia melayan saya seolah-olah sya seorang hamba.Bayangkan jika situasi ini terus berlaku.Pastinya kita tidak lagi akan dihormati sesiapa.Lupakan sahaja tentang modal insan.Orang seperti ini bukan hanya tidak punya modal malah bagi saya mereka langsung tidak bernilai!