Arkib bagi September, 2007

Catatan Akhir Kemanusiaan..

September 23, 2007

Segelintir manusia benar-benar telah hilang panduan.Mungkin bagi mereka,nyawa adalah entiti yang boleh dijual beli.Entah ke mana hilangnya belas kasihan dan hati kudus untuk menilai setiap perbuatan.Mereka sanggup mencalarkan maruah dan harga diri atas nama keinginan sementara yang perlu dipenuhi.Akibatnya bertambahlah anak-anak malang yang menjadi korban.

Sejak dulu,rentetan sejarah menceritakan betapa segelintir manusia adalah durjana.Siapa yang tidak pernah mendengar atau membaca ratusan kisah pilu mangsa rogol dan keluarga yang anggotanya terbunuh kerana kebinatangan manusia.Mereka sanggup melihat mangsanya terseksa dan tanpa rasa bersalah mereka meneruskan tindakan jijik hasil pemikiran songsang yang dijana oleh minda yang buta.

Kita harus bertindak.Bukannya hanya terus melangut dan terus menganalisis statistik.Sebarkan panduan pada semua yang mungkin tidak langsung sedar tentang tanggungjawab manusia.Jangan bertindak melulu.Isilah hati dengan keimanan dan akal dengan ketakwaan nescaya tiada lagi ruang-ruang bocor yang boleh diterjah oleh nafsu dan kebiadapan syaitan.

Masa semakin suntuk.Walaupun medan perubahan sentiasa terbentang di depan mata,semua harus menyedari bahawa manusia semakin tua.Jika hari ini mereka gagah berdiri,mungkin esok hari terakhir mereka menikmati rasa riang bersama orang yang tersayang.Janganlah terus membisu.Didiklah diri untuk kembali kepada fitrah yang dipenuhi sifat kemanusiaan dan rasa hormat yang tinggi.Wujudkanlah rasa cinta itu kembali.

Nota Cinta Buat Nurin..

September 23, 2007

Sebuah nota cinta untukmu..

Nurin,

Kita tidak pernah bersua.Mungkin ketetapannya begitu.Walaupun hidup di bumi yang sama dan menghirup udara yang tidak langsung berbeza,Nurin terlalu asing bagi saya.Saya tidak pernah melihat senyuman ceria dan rengekan manja yang terukir pada wajahmu.Maaf Nurin,saya tidak pernah terfikir tentang semua itu.

Nurin,

Seandainya masih ada masa,saya kepingin benar untuk bersama-sama Nurin melangkah ke sekolah.Kata teman-temanmu,Nurin seorang yang selalu gembira.Ketika bersama mereka sebelum berlabuhnya senja dan berjalan ke sekolah tanpa rasa lelah,Nurin sering saja ketawa.Watak yang ceria pasti disukai di mana-mana.Alangkah indahnya dunia jika kita berkesempatan untuk bertemu.

Nurin,

Jika ada yang bertanya tentang rasa kasih dan sayang,katakan pada mereka Nurin telah merasai semua itu.Saya tidak langsung cemburu.Ketika Nurin terasa hangat dalam dakapan ayah dan ibu,Nurin pasti tahu bahawa mereka menyayangimu.Bertuah benar anak kecil seperti Nurin.Sejak lebih sebulan yang lalu,Nurin disayangi jutaan manusia walaupun mereka bukan saudara.

Nurin,

Kita tidak mungkin lagi dapat berkongsi rasa.Belum sempat saya bertanya,Nurin telah pergi dan mewujudkan kehibaan setiap manusia.Saya tidak pernah cuba untuk mencetuskan rasa cinta terhadapmu.Cukuplah dengan kecintaan yang tiba-tiba menyelinap ke dalam ruang hati setiap diri tatkala terlihat senyuman pada wajah murnimu itu.

Suatu hari nanti,kita pasti akan bertemu..

Hanif Amir

11 Ramadan 1428

Baca baki entri ini »

Bercanda dengan jiwa..

September 14, 2007

2.jpg

Kalau benar hati sekeras kerikil,mungkin sudah lama pupusnya tamadun manusia.Manakan tidak,sudah tentu kita tidak dapat merasa dan mengambil berat tentang sesiapa.Kita adalah kita dan dia adalah dia.Apa yang berlegar di minda hanyalah perihal sendiri.Sudah tentu kita terasa janggal untuk turut terlibat memikirkan dan merasai kepiluan orang lain.

Namun kita beruntung kerana dicipta dengan hati yang punya kelembutan.Oleh itu,kita tidak dapat lari daripada emosi dan tekanan yang melanda.Mengapa kita dicipta begitu?Kita harus sedar pergantungan kita pada suatu kuasa yang lebih besar dan tidak terkira kehebatannya.Kita boleh menangis untuk memujuk hati tetapi sedarlah bahawasanya Dia sentiasa ada untuk mendengar keluh-kesah setiap manusia.

Bagi sesiapa yang dungu dan tidak mengerti,penyelesaian terhadap sesuatu masalah adalah sangat rumit dan membebankan.Lantaran itu ada diantara kita sanggup merombak pemikiran sendiri dan membutakan akal budi.Tiada langsung rasa gentar.Ketika itu nyawa tidak lagi bernilai dan mereka sanggup ia tergadai.Bukan lagi satu rahsia yang membunuh diri adalah jalan terbaik menuju abadi.

Jika seseorang manusia itu berfikir,maka mereka pasti akan terus menangis.Teruskanlah tangisan itu kerana sekurang-kurangnya kita tahu bahawa kita manusia yang kerdil dan lemah.Kita sebenarnya bertuah kerana dipilih Tuhan untuk terus menangis.Sesungguhnya bercanda dengan jiwa dan mengadu pada yang Esa adalah lebih baik daripada membiarkan diri terus terseksa dizalimi emosi.

Ramadhan,Bermulanya Suatu Perubahan

September 14, 2007

ramadhan.jpg

Hari demi hari yang telah berlalu adalah sejarah.Kita hanya punya dua pilihan samada ingin terus digamit memori atau menerjah ke suatu ruang baru yang mungkin wujud pada hari esok.Mungkin juga ketidaksempurnaan hari ini merupakan latihan dan ingatan agar kita dapat memperbaiki masa depan.Apa jua alasannya,kita tidak dapat menafikan yang kita semakin dimamah usia dan sedang menuggu untuk dijemput Pencipta.

Dunia tidak lagi bermakna kepada si tua zuhud ketika dia sedang beriktikaf di masjid.Padanya,dunia hanya persinggahan untuk dia mengisi rohani dalam kembaranya mencari abadi.Kita juga harus berfikir begitu.Setiap hari yang dilalui untuk meneroka pentas hidup perlu dinilai dan dimengertikan kembali.Janganlah bongkak dengan longgokan harta dan wang.Semua itu tidak bernilai dan langsung tidak berguna tatkala kita bersendiri dalam lahad yang sunyi.

Kini kita sedang berdepan dengan Ramadhan.Usahlah terus termenung mengenang dosa-dosa lalu yang mungkin bertimbun jumlahnya.Sementara kita masih punya masa,eloklah jika kita terus melangkah dalam perjalanan mencari erti.Semailah benih-benih rohani yang segar berpandukan kalam tuhan.Semoga pucuk yang tumbuh nanti mampu melindungi diri daripada terik mentari di tanah Mahsyar.

Mulakanlah suatu transformasi diri.Janganlah terus terkapai dalam lautan dosa.Kita harus memulakan renangan untuk keluar dari gelombangnya.Sementara Ramadhan baru bermula,mungkin kita masih punya banyak masa untuk melakukannya.Manfaatkanlah ilmu yang dipelajari dengan mengaplikasikannya dalam kehidupan.Semoga masa depan akan lebih bergemerlapan dengan panduan daripada Tuhan.

*Catatan bagi memperingati Usrah Umum 1 yang baru berlalu.

Di Bawah Rimbunan Pohon..

September 6, 2007

               3110406665.jpg3110406665.jpg 

Melihat sekitaran alam mampu memberikan ketenangan dan mewujudkan rasa sentosa yang kadangkala membuai jiwa manusia.Mungkin kita tidak dapat mencerna apa dan mengapa ia terjadi,namun cetusan rasa sentosa itu sudah cukup untuk membuatkan kita berfikir dan menilai makna disebaliknya.Tanpa sedar,kita akan dibawa ke udara dan terus terapung untuk melupakan tekanan dan kekangan yang dirasai sebelumnya.

 Entah mengapa ketika itu rimbunan pohon kelihatan kaku walaupun angin bertiup syahdu.Mentari masih cerah dan baru saja muncul dari ufuk.Namun,hari itu berbeza.Dakapan oleh khazanah alam dan nyaring bunyi cengkerik tidak dapat mencetuskan rasa sentosa seperti biasa.Tiada siapa dapat merasa kencangnya degup jantung ketika sinaran itu menjelma.Jarak bukan persoalan.Walaupun jauh,hati sudah mula berhubungan.

 Tidak perlu gertak dan ancam.Begitu juga dodoian sayang.Alam memang sudah lama diam.Ia membisu dan membenarkan hati terus berasa rindu.Turun dari rimbunan pohon,sinar itu pegun.Namun cahayanya yang terbias pada wajah masih belum mampu meruntuhkan rasa malu.Sinarnya ada di mana-mana.Tidak perlu dicari kerana ia sudah lama tertanam di hati.

 Apa ertinya semua ini?Sudah tentu hati sedar dan pasti namun ia terus membiarkan mulut terkunci.Dari kejauhan,sinar itu tetap di situ.Tak pernah ia berlalu pergi dan tidak pernah pula ia musnah walau dihenyak ketamakan manusiawi.Biarkanlah kesentosaan itu terhapus kerana sinar yang wujud terus cerah seperti suburnya rimbunan pohon yang berguguran dedaunnya di bumi.

Penjajah Yang Bengis..

September 1, 2007

Penjajah yang bengis

bertabur beras dari tempayan

mungkin itu yang terakhir

sebelum aku terpaksa mengemis di jalanan.

 

Penjajah yang bengis

tumpah air dari sayong

mereka tidak lagi berseloroh

api semangat tak mungkin kau bendung.

 

Penjajah yang bengis

darah itu pekat mengalir

tetapi mereka hanya diam

melihat lidahmu yang terjelir.

 

Penjajah yang bengis

mereka tidak mencari sengketa

lebih baik kau undur

mereka telah bangkit menuntut pusaka.

 

Benarkah kita bermaruah?

September 1, 2007

                                                                                                                                                   images.jpg 

Setiap kali terdengar laungan merdeka,mungkin ramai diantara kita yang akan mengimbau kembali pahit getir perjuangan menentang penjajah.Mungkin kita tidak sepatriotik Adnan b. Saidi dan Kanang Anak Langkau,namun minda akan tetap berputar merentas masa silam yang mengembalikan memori duka sebelum wujud sebuah negarabangsa yang kita banggakan pada hari ini.

Persoalannya kini,benarkah kemerdekaan yang bererti itu telah dapat kita hayati?Kita boleh berbangga dengan bangunan tinggi yang terpasak di bumi.Kita juga boleh bermegah dengan perpaduan yang kita nikmati.Tetapi kita harus bertanya kembali benarkah generasi kini benar-benar menjunjung cita-cita bangsa dan merasakan tanggungjawab pada tanah air yang mereka diami.

Kita sepatutnya bersyukur kerana masih dapat menghela udara kedamaian dan kemakmuran yang dulunya hanya satu impian yang jauh dari gapaian.Malangnya,kemerdekaan hari ini masih belum benar-benar terisi lantaran sikap manusiawi yang hanya tahu mengejar laba dan keuntungan.Mereka tidak memandang kemerdekaan sebagai medan perubahan.Apa yang mereka tahu,mereka akan terus kaya dan mencipta nama.

Saya terkesan dengan golongan seperti ini.Daripada anak muda yang mengibar bendera pada sisi-sisi haram jenteranya sehinggalah pimpinan yang rakus mengejar kuasa,jelas mereka bukan rakyat yang mulia.Malang buat kita.Walaupun kita telah berjaya menewaskan kegagahan penjajah,kita sekali lagi harus bertanya dan bermuhasabah,benarkah kita bangsa yang bermaruah?

*Adnan b. Saidi ialah seorang askar Melayu yang memperjuangkan maruah bangsanya lalu terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Jepun di Bukit Candu,Singapura.

*Kanang anak Langkau merupakan salah seorang penerima Pingat Gagah Berani kerana dia terus bangkit melawan komunis tanpa menghiraukan nyawanya walaupun telah ditembak beberapa kali.