Tatanan Moral Dan Petunjuk

Ogos 19, 2008

Saya fikir ada keperluan untuk kita kekal tegas. Menghadapi rencam budaya politik busuk pemerintah ditambah dengan kejahilan kita melaluinya tidak akan membawa kita ke mana-mana. Itulah sebabnya kita perlu melenyapkan budaya gentar kepada kekuasaan dan ancaman yang hadir dari manusia. Pergantungan kita bukan kepada manusia. Tuhan tidak menjadikan manusia untuk sujud dan patuh kepada golongan yang sama.

Mendepani realiti hari ini, kita tidak boleh goyah. Goyah ertinya musnah. Cukuplah kalau kita alihkan pandangan kepada politik semasa. Ramai sosok unggul dunia politik yang goyah. Akhirnya, mereka hanya memperjuangkan ideologi lapuk tanpa ada pendirian yang kekal utuh.

Tapi itu politik. Kehidupan tentunya lebih mencabar. Apa yang terjadi kepada kita selama ini perlu dilihat sebagai suatu tragedi. Ia memang suatu tragedi. Kita yang sibuk mencemar budaya dengan frasa unggul kemodenan. Kita jugalah yang menginjak kebijakan sendiri tanpa mahu menilai baik buruk sesuatu tindakan. Penilaian kemajuan bagi kita hanyalah apabila kita mampu menyaingi barat dengan acuan yang dicipta mereka. Jatidiri hancur berterabur tanpa sisa.

Kita sebenarnya sudah terlalu lama lesu. Agama yang kian dianggap enteng tidak lagi menjadi rujukan. Dan itulah pintu kemusnahan yang telah kita buka seluas-luasnya. Kini, tiada lagi cara untuk kita terus berhadapan dengan situasi ini. Andainya kita terus malas untuk kembali kepada tatanan hidup beragama, maka cita-cita kemodenan akan terus menjadi matlamat palsu yang tidak bererti.

Kita punya pilihan. Samaada kita mahu merdeka dan menghargai kebebasan hasil dari kesucian agama atau kita masih mahu dibelenggu dalam penjara yang kita ciptakan sendiri.

Kejahilan mengundang kecelakaan!


Kita Hapuskan Bahasa Sengsara!

Ogos 19, 2008

Saya mula terkesan dengan kemanusiaan tatkala ombak besar Tsunami menghempas Aceh. Susulan daripada peristiwa itu, bencana tidak henti-henti menimpa. Timbul beberapa persoalan samada ini ingatan Tuhan atau hanya keadaan alam yang tidak lagi mahu bekerjasama.

Bagi saya, perkiraannya mudah. Alam itu dicipta oleh Tuhan. Maka apa jua hal yang berlaku tidak mungkin sia-sia. Tentu ada sesuatu yang cuba disampaikan tanpa sedar kepada kita. Keadaan yang berlaku di seluruh dunia pada waktu ini sangat memerlukan perhatian dan keprihatinan kita.

Naluri tidak boleh dibiarkan mati. Ia perlu hidup untuk terus merasai degup nadi dan aliran darah setiap nyawa. Kita perlu berkongsi rasa agar kehidupan tidak hanya terhad dalam lingkaran kita. Kehidupan ini juga untuk mereka -manusia yang punya rasa dan jiwa yang sedang terseksa.

Entahlah. Bagaimana keadaan ini perlu kita hadapi? Kemanusiaan yang lahir daripada kesedaran tidak mungkin cukup untuk menzahirkan bantuan. Kita perlu meneruskan kesinambungannya dengan tindakan. Semoga alam akan kembali damai dengan segenap rasa cinta dan kasih yang segar dan subur. Ingat, cinta hanya berputik bila kita yakin kemanusiaan itu milik kita dan kitalah yang akan memilikinya!

Bila ada teman yang bertanya apa itu bahasa sengsara, lalu pertanyaannya itu saya hadapkan dengan beberapa kenyataan yang bermain di kepala.

Teriakan seorang ibu yang melihat jasad anaknya dilapah peluru

Tangisan seorang bayi yang meminta agar perutnya diisi

Hiba si bapa yang menyaksikan keluarganya dizalimi

Dan senarainya harus panjang lagi. Sengaja saya berhenti kerana masalah tidak akan selesai dengan hanya memberikan harapan yang belum pasti.


Ilmu

Ogos 19, 2008

Saya sering sahaja berkelahi dengan diri bila menjejak kaki ke kedai buku. Menyentuh fizikal buku dan membaca cebisan sinopsisnya dengan penuh minat adalah antara tanda poket bakal koyak. Hal ini membuatkan saya kurang berdisiplin. Matlamat untuk hanya melihat-lihat buku-buku baru akhirnya pasti akan goyah.

Apa yang dicari sering saja tiada. Yang lain pula yang dijumpa. Jumlahnya pula terlalu banyak untuk diborong semua. Tetapi, ada keperluan untuk saya terus tekun dengan sikap ini. Adakalanya, duit tidak boleh dijadikan batasan untuk tidak membeli dan menekuni ilmu-ilmu baru yang terhimpun dalam sebuah buku.

Hujung minggu yang lalu, saya sempat ke sebuah pameran tentang Orientalisme di Muzium Kesenian Islam Malaysia. Di situ, mata dibukakan seluas-luasnya untuk melihat betapa tradisi ilmu umat Islam dirompak oleh barat. Akhirnya mereka tanpa segan menjaja semula ilmu tersebut dengan penjenamaan baru kononnya ilmu itu milik mereka. Kalau tradisi ilmu yang perlu kita mulakan dengan budaya membaca ini tidak dihidupkan semula, maka kita layak untuk terus dihina dan kekal begitu.

Buku hanyalah medium penyampaian. Isinya lebih penting untuk dihayati. Namun, dalam keadaan kita yang tidak suka membaca, buku akan terus menjadi tempat pengumpulan sawang dan anai-anai. Pada masa yang sama kita akan terus ditekan dan ditindas dengan ilmu yang berakar dari agama senndiri yang langsung tidak kita fahami.

Ayuh kita laburkan laba! Belilah buku untuk dibaca kerana kita tidak boleh untuk terus bodoh tanpa disinari cahaya!


Sumpah Saiful Atau Saiful Sesumpah?

Ogos 16, 2008

Anak muda bernama Saiful Bukhari Azlan telah bersumpah semalam. Dengan penuh yakin dia membuat pengakuan kepada Tuhan bahawa memang pernah berlaku hubungan luar tabie antaranya dengan Anwar Ibrahim. Saya mahu mengumpul kekuatan katanya. Hal itulah yang menyebabkan dia menghilangkan diri seketika.

Tahniah Saiful! Tidak ramai anak muda seberani kamu. Tidak mengapalah kalau fikiran kamu celaru. Pertuduhan suka sama suka di mahkamah dengan kenyataan kamu dipaksa untuk melakukan perbuatan itu amatlah berkontradiksi.

Bagaiman pula dengan akaun bersumpah pegawai perubatan di Pusrawi? Tidakkah itu juga dilakukan dengan tahap kejujuran yang tinggi? Saya rasa kita ini berada dalam zaman transisi sejarah. Kebetulan pula sekarang bulan Ogos. Hampir 51 tahun lalu, kita berpenat lelah untuk mencapai kemerdekaan. Puncanya adalah untuk mempertahankan maruah.

Menginjak ke tahun 2008, semangat kemerdekaan untuk mempertahankan maruah itu nampaknya masih kita pelihara. Saiful, dengan beban pembuktian yang besar terpikul di bahu, cuba untuk mempertahankan maruah. Kata dia ini isu peribadi. Tetapi jangan lupa, anak muda ini seorang patriot. Saya menggolongkannya sebagai seorang patroit muda kerana dia lakukan ini semua demi Allah, Agama, Bangsa dan Negara!

Selamat berjuang wahai patriot! Ini zaman transisi kerana maruah hanya mainan!(atau sebenarnya kamu yang dipermainkan?!)


Fikir Dan Terbuka

Ogos 14, 2008

Perbincangan tambah menarik bila sang teman mengheret agama dalam hujahnya. Ya. Islam mendorong kita untuk adil dan menghormati hak yang sama untuk manusia.

Kalau begitu, yang perlu diubah sebenarnya apa? Dalam bercerita tentang hak Melayu, kita masih didasari oleh penghormatan terhadap perlembagaan yang telah lama dirangka. Itu tidak boleh kita lupa.

Saya masih tertanya-tanya, apa perlunya cadangan pembukaan kuota 10 peratus UiTM, jika pihak yang memberi cadangan itu juga hidup dalam sistem semasa yang tidak membenarkan hal seumpama itu terjadi (dan tidak juga mengubahnya dalam hal-hal yang lain)?

Bagus juga kalau dapat kita fikirkan bersama.


Haramkan Buku Atau Memasung Minda?

Ogos 14, 2008

Sekali lagi, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan penerbitan buku. Saya tidak tahu apa isinya. Ramai teman berpendapat, hujah perlu dibalas hujah. Mengharamkan penerbitan buku seperti ini merupakan tindakan ke belakang yang tidak membantu langsung upaya untuk mendewasakan pemikiran.

Mengapa perlu diharamkan? Sesesat mana pun isinya, akhirnya kita perlu sedar bahawa yang perlu dikedepankan ialah ilmu. Jika hari ini, belum sempat pun ilmu itu tersebar (perkara sesat juga berlandaskan ilmu, cuma tafsirannya berbeza), ia telah disekat dari mula, maka masyarakat hanya disogokkan dengan budaya suap tanpa membenarkan mereka berfikir dengan matang.

Menafikan hak berfikir dan berpendapat, adalah perkara bodoh. Pendapat yang salah tidak akan menjadi betul jika tiada upaya untuk membetulkannya. Menyekat penerbitan buku samalah seperti itu. Biarkan pendapat itu dihantar ke ruang awam kerana di sana memang ada keperluan untuk kejahilan itu diperdebatkan.

Kebenaran selamanya akan menang. Tiada sebab untuk takut berdepan dengan hanya dua buah buku yang samar-samar isinya jika kita sendiri yakin dengan keteguhan iman dan amal yang telah lama kita pelihara.


Berani Kerana Benar!

Ogos 13, 2008

Tadi, tatkala makan dan sembang-sembang di meja VIP, seorang teman mengungkap isu politik. Semeja dengan saya ialah pegawai-pegawai universiti. Sebelumnya, kami baru selesai perasmian kelas pengajian ilmu.

Jika berhujahkan ilmu, maka politik akan jadi suci. Mana mungkin ilmu yang benar mengarahkan manusia kepada jalan bengkok politik. Itu mustahil. Berpaksikan ilmu juga tidak mewajarkan kita untuk beremosi. Mujur, mungkin tadi saya masih ada dalam lingkungan itu.

Maka, ilmu tidak mengajar kita untuk takut. Biarlah siapapun lawannya, pendirian perlu teguh. Kebebasan ruang dan peluang mesti dimanfaatkan (mungkin ini yang dilakukan oleh teman saya).

Kalau benar dasar diktator, maka AUKU tidak perlu dipinda atau dimansuhkan. Mahasiswa, dengan keyakinan ilmu melalui tafsiran yang jelas dengan sendirinya akan menentang dan tidak mengendahkannya.

Tapi ilmu perlu diisi dulu. Jika tidak, cara teman saya tadi mungkin boleh dilakukan.

Mahu tahu apa caranya?

Kita perlu mula bertindak membabi buta! Berdepan pegawai universiti tidak langsung membuatkan teman saya ini takut untuk bicara tentang PAS dan UMNO Hadhari!